Siapalah kita sebagai hamba untuk ‘merajuk’ dengan Tuhan

Siapalah kita sebagai hamba untuk ‘merajuk’ dengan Tuhan

YUSUFF ARSYAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOLAH-OLAH ada satu penyakit hati yang semakin halus menjalar dalam kehidupan kita hari ini. ‘Merajuk’ dengan Tuhan, iaitu keadaan yang mendorong sesetengah individu dilihat cuba menyalahkan takdir serta mempersoalkan takdir Allah SWT.

Barangkali ia terlahir daripada budaya mengejar hasil segera apabila doa dianggap sebagai jaminan kejayaan, manakala ibadah pula dilihat sebagai pertukaran kepada kesenangan hidup.

Tokoh agamawan Kedah, Tuan Guru Yusuff Arsyad dari Kampung Teluk Bulang, Alor Setar menegaskan, sikap tersebut adalah masalah hati yang serius sedangkan sebagai hamba, manusia tidak layak merajuk atau mempertikaikan ketentuan Allah SWT.

“Itu masalah hati yang berat. Jangan sesekali merasa begitu. Sebagai hamba-Nya, kita sebenarnya tidak layak pun merasa begitu,” ungkap beliau ketika ditemui di rumahnya di Kampung Teluk Bulang, Alor Setar Kedah baru-baru ini.

Beliau yang masih aktif berceramah agama berkaitan fardhu ain di masjid itu menegaskan, hubungan antara hamba dan Tuhan, tidak seharusnya berasaskan tuntutan kerana setiap doa yang dipanjatkan terletak di tanganNya.

“Sabar dan bersangka baik akan mendekatkan kita kepada Tuhan. Kita kena faham bahawa kalau hari ini doa kita belum termakbul mungkin kerana Allah SWT menyimpan sesuatu yang lebih besar untuk kita kemudian hari. Mungkin juga di akhirat kita akan memperoleh itu.

 

TUAN GURU YUSUFF ARSYAD
Umur:  91 tahun
Pendidikan: Pondok Padang Lumat Yan
Jawatan: Penceramah bebas

 

“Teruskan berdoa dan jangan sesekali meninggalkan perintah Tuhan semata-mata kerana doa kita belum dimakbulkan. Jatuh berdosa pula nanti. Bersabarlah.

“Dalam Surah al Baqarah jelas tafsirnya untuk mengajar manusia supaya menerima takdir kerana hanya Tuhan sahaja yang tahu kebenaran di sebalik kejadian itu.

“Allah SWT tidak pernah sesekali zalim kepada hambaNya apatah lagi jika kita yang beribadah dan beramal dengan semua perintahNya.

“Jelas sekali dalam Surah Fussilat:46, “Dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hamba-Nya ,” katanya anak ulama tersohor Kedah, Allahyarham Tuan Guru Arsyad Din.

Bekas mudir Madrasah Tahfiz Al Falah, Alor Setar ini juga memberitahu, perjalanan hidup umat Islam sudah tertulis di Luh Mahfuz masing-masing dan kesabaran diperlukan dalam menjalani ujian masing-masing.

Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bersabar (Surah al Baqarah: 153). Sabar bukan bererti pasrah tanpa usaha tetapi bertahan tanpa mengeluh dengan ujian Tuhan. Percaya kalau doa itu baik, Allah tidak mungkin menolaknya, mungkin tangguh sahaja.

“Di samping itu kita kena istiqamah dan baiki amal ibadat kita sendiri, cari di mana silapnya. Mungkin kelemahan itu datang daripada kita sendiri, mungkin solat kita tidak betul. Jadi baiki semua itu,” katanya yang pernah berkhidmat sebagai guru takmir.

Sehubungan itu, Tuan Guru Yusuff menegaskan kepentingan mempelajari ilmu fardhu ain, khususnya tauhid, bagi membentuk kefahaman yang betul tentang konsep ketuhanan dan pengabdian.

“Ilmu tauhid asas iman kita sebagai umat Islam ini. Ia mengajar kita kefahaman dan penjelasan akidah agama. Kalau kepercayaan kita mantap tentu kita tidak akan mempersoalkan ujian yang Allah beri apatah lagi untuk merajuk.
“Apa tujuan sebenar hidup kita ini? Untuk beribadah kepada Allah SWT dan menerima ketentuan-Nya dengan reda. Tanpa asas ini, manusia mudah kecewa apabila kehendak tidak dipenuhi,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN