KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menafikan dakwaan kononnya sukan karate dianaktirikan dalam pemberian Geran Padanan Sukan (GPS).
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, karate kekal sebagai antara sukan utama penyumbang pingat kepada negara dan tidak timbul soal sukan itu dipandang sepi.
Katanya, dana RM450,000 untuk Kejohanan Karate1-Series A Kuala Lumpur 2025 baru-baru ini sebenarnya kurang memuaskan, dan beliau sendiri tidak berpuas hati dengan jumlah itu.
“Kita tidak pernah abaikan mana-mana sukan. Karate adalah antara aset penting negara dalam memburu pingat. Jadi, dakwaan karate dianaktirikan adalah tidak benar sama sekali,” katanya.
Menurut Hannah, hubungan erat antara KBS dan Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) terus terjalin kukuh dan Jawatankuasa GPS teklah diarah mengkaji semula jumlah geran itu.
“Saya faham kekecewaan Presiden MAKAF, Datuk Nur Azmi Ahmad kerana kejohanan bertaraf antarabangsa memerlukan perbelanjaan besar dan risiko kerugian amat tinggi jika dana tidak mencukupi.
“Justeru, saya telah arahkan kajian semula segera bagi memastikan geran yang diberi setimpal,” katanya.
Terdahulu, MAKAF kecewa apabila hanya menerima geran terhad meskipun telah membelanjakan lebih RM1.5 juta untuk penganjuran kejohanan itu.
Mereka turut memberi bayangan untuk tidak menganjurkan kejohanan seumpama itu pada masa akan datang jika situasi tidak berubah.
Dalam perkembangan lain, Hannah mengumumkan penambahbaikan dalam skim GPS dengan membenarkan kos penyiaran dimasukkan sebagai satu item tuntutan geran.
“Ini antara inisiatif kita untuk memperkukuh sokongan kepada persatuan sukan dalam memastikan mereka dapat berdaya saing di peringkat antarabangsa,” tambah beliau.-UTUSAN










