30 negeri AS 'membeku', 235 juta penduduk terjejas

30 negeri AS ‘membeku’, 235 juta penduduk terjejas

RIBUT salji musim sejuk menjejaskan kawasan di Lapangan Terbang Antarabangsa O’Hare di di Chicago, Illinois. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amaran cuaca dikeluarkan di 30 negeri apabila satu gelombang musim sejuk paling ekstrem ‘membekukan’ Amerika Syarikat (AS) dengan suhu terendah sepanjang Disem­ber.

Menurut pakar cuaca, ge­lombang pusaran kutub Artik dipanggil polar vortex yang melanda minggu ini hanya permulaan kepada fenomena yang lebih ekstrem dalam tempoh tiga minggu akan datang.

Bahagian Midwest dan timur laut kini berada dalam fasa pertama arus Artik yang menolak udara sejuk jauh ke selatan dari Kanada.

Negeri-negeri dari Montana hingga Maine dijangka mengalami suhu antara kira-kira 5 hingga 8 darjah Celsius lebih rendah daripada purata awal Disember, dengan kemungkinan berlakunya ribut salji serta fenomena ‘snow squall’, iaitu ribut salji pendek tetapi sangat lebat yang datang secara tiba-tiba dan boleh menyebabkan jarak penglihatan merosot dengan cepat.

AMARAN AIS DAN GANGGUAN PERJALANAN

Fenomena ini turut membawa salji pertama musim ini di New York bahagian utara, Vermont, New Hampshire, Maine dan kawasan Mid-Atlantik utara, memaksa sekolah di beberapa kawasan ditutup sementara.

Ketinggian salji dijangka antara tiga hingga 12.7 sentimeter (cm) di kawasan rendah, manakala kawasan pergunungan seperti Adirondacks, Green Mountains dan White Mountains boleh menerima sehingga 20.3 sentimeter.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) mengeluarkan amaran ribut musim sejuk dan nasihat cuaca dari Maine hingga Kentucky.

New Jersey turut mengisytiharkan darurat di beberapa daerah utara berikutan ancaman salji, hujan ais dan gangguan elektrik.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) turut mengenakan penangguhan pendaratan di beberapa lapangan terbang utama termasuk Boston, New York dan Washington ketika hab pengangkutan di seluruh AS berusaha untuk memastikan landasan, jalan raya dan kaki lima bebas daripada ais berbahaya.

Kemalangan besar melibatkan 45 kenderaan berlaku di Interstate 70 berhampiran Terre Haute, Indiana pada Sabtu, selepas beberapa kenderaan hilang kawalan dan meluncur ke bahagian bertentangan lebuh raya.

Selatan dan Great Plains pula akan mengalami suhu luar biasa sejuk dengan paras tertinggi hanya sekitar 4 hingga 9 darjah Celsius, menjejaskan tanaman dan meningkatkan risiko paip pecah sehingga ke Texas dan Carolina.

Fenomena sejuk ini berlaku akibat fenomena polar vortex melemah melibatkan pusaran udara sejuk di atmosfera atas yang biasanya berada kukuh di atas Kutub Utara.

Gangguan atmosfera menolak udara lebih panas ke atas, menyebabkan pusaran itu tergelincir dan membenarkan udara Artik menjangkau jauh ke selatan AS.

Pertembungan udara sejuk dari utara dan udara panas dari Teluk Mexico mencetuskan hujan dan salji di Selatan, manakala salji lebat berlaku di utara Missouri.

Udara sejuk dijangka terus bergerak ke Oklahoma, Arkansas, Missouri dan Tennessee pada pertengahan minggu.

Pusat ramalan AccuWeather memberi amaran suhu di sekurang-kurangnya 20 negeri boleh menjunam sehingga 20 darjah di bawah paras purata.

Negeri-negeri di Midwest seperti Iowa, Minnesota, Illinois dan Wisconsin boleh mencatat suhu serendah -23 darjah Celsius pada Khamis yang berpotensi memecahkan rekod lama.

Pada Jumaat, bandar utama seperti New York, Chicago, Indianapolis dan Baltimore juga dijangka merekodkan suhu terendah dalam lingkungan belasan darjah.
AccuWeather menjangkakan tiga episod polar vortex akan berlaku sebelum 21 Disember.

SALJI LEBAT DAN SUHU MENJUNAM

Ahli Klimatologi Institut Teknologi Penyelidikan Massachusetts (MIT), Judah Cohen menjelaskan fenomena cuaca sejuk awal minggu ini disifatkan hanyalah sebagai ‘pembuka selera’, dengan fasa lebih ekstrem dijangka pada pertengahan bulan.

“Model cuaca menunjukkan kawasan paling luas yang berkemungkinan mengalami kesejukan ekstrem meliputi Dataran Kanada hingga Pantai Timur AS pada minggu ketiga Disember

“Sehingga akhir bulan, Timur Laut dan Midwest dijangka terus berdepan ribut salji sederhana berulang, dengan suhu siang sekitar -6 hingga -4 darjah Celsius dan suhu malam serendah sekitar 0 hingga 9 darjah Celsius,” katanya.

Kawasan sekitar Great Lakes pula boleh menerima salji lake-effect, iaitu salji lebat yang terbentuk apabila udara sejuk bergerak di atas permukaan tasik yang lebih panas, setinggi beberapa kaki.

Selatan dan Great Plains pula akan mengalami suhu luar biasa sejuk dengan paras tertinggi hanya sekitar 4 hingga 9 darjah Celsius, menjejaskan tanaman dan meningkatkan risiko paip pecah sehingga ke Texas dan Carolina.

Bahagian lain Midwest, termasuk Iowa, Illinois, Indiana dan Michigan yang baharu pulih daripada ribut Thanksgiving, dijangka mengalami suhu digit tunggal.

Dakotas, Montana, Wyoming, Wisconsin dan Minnesota pula boleh mencatat suhu paling rendah tahun ini menjelang malam Isnin.

Amaran ais turut dikeluarkan untuk Maryland, Virginia, West Virginia dan North Carolina, berikutan risiko jalan licin dan kelewatan perjalanan.

Pada malam Isnin dan sepanjang Selasa, Ohio, Pennsylvania timur, New York bahagian utara serta New England dijangka menerima salji sehingga 15.24 cm.

Dalam beberapa hari akan datang, ribut dijangka membentuk sempadan antara udara panas dan sejuk, membawa campuran salji dan hujan batu ke Kansas, Missouri, Illinois, Indiana, Ohio, West Virginia, Virginia dan Pennsylvania.

Kawasan Oklahoma, Arkansas, Kentucky, Tennessee dan North Carolina pula berisiko mengalami ais tebal di atas lapisan salji.

Di selatan, dari Virginia hingga Florida Utara dan timur Texas, hujan lebat serta ribut petir dijangka menyebabkan banjir setempat. Kawasan seperti Catskills di New York, Berkshires di Connecticut dan Massachusetts, serta Maine tenggara menerima salji 30.48 cm.

New York City dan Philadelphia pula dijangka mengalami salji yang bertukar hujan, meningkatkan risiko jalan licin. Jika ribut kedua menolak udara lebih sejuk dari Hudson Valley, New York mungkin menerima salji lebih lebat daripada jangkaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN