PENDIDIKAN pengguna merupakan proses penting dalam membantu masyarakat menjadi pengguna yang bijak, berinformasi dan bertanggungjawab.
Dalam dunia moden yang semakin kompleks, pengguna berdepan pelbagai pilihan produk, iklan yang mengelirukan serta risiko penipuan, terutamanya melalui platform dalam talian.
Oleh itu, pendidikan pengguna menjadi keperluan bagi memastikan pengguna dapat membuat keputusan yang selamat dan tepat ketika membeli barang atau menggunakan perkhidmatan.
Pendidikan pengguna merangkumi pemberian pengetahuan serta kemahiran kepada individu supaya mereka memahami hak dan tanggungjawab sebagai pengguna. Melalui pendidikan ini, pengguna dapat mempelajari cara membeli dengan betul, mengelakkan penipuan, menggunakan produk dengan selamat serta mengetahui prosedur membuat aduan atau tuntutan jika berlaku masalah.
Pengetahuan ini bukan sahaja membantu pengguna melindungi diri tetapi juga memberi mereka kuasa untuk membuat pilihan yang lebih bijak dan berkesan.
Tujuan utama pendidikan pengguna untuk melindungi pengguna daripada penipuan, promosi palsu serta harga yang tidak munasabah. Selain itu, menggalakkan pengguna membuat pembelian secara bijak supaya tidak berlaku pembaziran.
Malah pendidikan pengguna meningkatkan kesedaran tentang hak pengguna seperti mendapat maklumat, keselamatan, pampasan dan pilihan. Melalui pendedahan terhadap risiko produk berbahaya, pengguna dapat membuat keputusan yang lebih selamat. Tambahan pula, pendidikan pengguna membantu individu mengurus kewangan dengan lebih baik, termasuk merancang bajet dan mengawal perbelanjaan.
Dengan perkembangan e-dagang, sistem kewangan digital dan pelbagai bentuk kontrak elektronik, pengguna memerlukan pengetahuan untuk memahami terma serta risiko tertentu. Produk yang semakin pelbagai dan canggih juga memerlukan pengguna mengetahui cara menilai kualiti sebelum membeli. Tanpa maklumat yang tepat, pengguna boleh terdedah kepada bahaya atau kerugian. Pendidikan pengguna adalah asas untuk mewujudkan masyarakat yang lebih celik kewangan dan mampu berdepan dengan perubahan pasaran.
Antara kandungan penting dalam pendidikan pengguna termasuklah cara membaca label produk, teknik membandingkan harga dan kualiti, mengenali penipuan dalam talian, serta memahami hak pengguna berdasarkan undang-undang.
Pendidikan ini juga mengajar pengguna cara membuat aduan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) dan memberikan kesedaran tentang kepentingan keselamatan produk. Selain itu, pengguna digalakkan untuk menggunakan produk secara beretika dan mesra alam bagi memastikan kelestarian alam sekitar.
Pendidikan pengguna boleh diperoleh melalui pelbagai saluran seperti sekolah, kempen kerajaan, kelas literasi kewangan, media massa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pengguna serta platform digital. Usaha pelbagai pihak penting untuk memastikan maklumat sampai kepada semua lapisan masyarakat, termasuk generasi muda yang lebih terdedah kepada dunia digital.-UTUSAN
BULBIR SINGH
Bekas Presiden Persatuan Pengguna Negeri Sembilan










