BAKAT seseorang manusia ditentukan Allah S.W.T sejak azali, termasuk dalam bidang keusahawanan, yang menjadi antara evolusi baharu dalam pembangunan ekonomi Malaysia.
Manusia dikurniakan kelebihan tertentu untuk memakmurkan bumi, sesuai dengan peranan sebagai khalifah. Ada yang diberi bakat menjadi guru, pensyarah, petani, nelayan atau usahawan dan setiap bakat mempunyai peranan strategik dalam pembangunan negara.
Memasuki era milenium, pembangunan bakat keusahawanan berubah ketara akibat kemajuan teknologi, globalisasi dan lonjakan ekonomi digital. Keusahawanan kini bukan sekadar pilihan kerjaya sampingan tetapi pemacu utama pertumbuhan ekonomi.
Kerajaan melalui Dasar Keusahawanan Negara 2030 (DKN2030), Pelan Transformasi Nasional dan inisiatif Revolusi Industri 4.0 mengiktiraf bakat keusahawanan sebagai aset strategik negara.
Fokus pembangunan usahawan bukan sahaja pada kuantiti tetapi juga kualiti, daya tahan dan kebolehan bersaing di peringkat global.
Program seperti Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE), eUsahawan, SUPERB, dan Program Pembangunan Usahawan Muda mengambil pendekatan menyeluruh, mengenal pasti bakat sejak di peringkat sekolah, universiti dan komuniti. Sementara itu, syarikat swasta dan platform digital seperti MaGIC, pitchIN, dan Cradle Fund memperkukuh ekosistem keusahawanan melalui pembiayaan, bimbingan dan akses pasaran.
Usahawan muda dididik untuk berinovasi, menguasai teknologi dan membangunkan solusi digital berimpak tinggi.
Pendekatan pembangunan bakat kini menekankan kemahiran menyeluruh termasuk pemikiran kritis, kreativiti, kebolehsuaian dalam persekitaran VUCA serta keberanian mencuba dan gagal, atau dikenali sebagai fail-forward mindset.
Namun, cabaran tetap wujud. Masih terdapat kekangan budaya dan persepsi masyarakat yang mengutamakan kerjaya stabil, sokongan keluarga terhadap keusahawanan rendah, khususnya di luar bandar. Terdapat jurang antara latihan teori yang diberikan dan keperluan sebenar industri, kekurangan mentor berpengalaman, akses terhad kepada teknologi, serta cabaran menembusi pasaran global.
Malaysia memerlukan pendekatan holistik yang bukan sekadar menyediakan dana dan latihan tetapi juga membudayakan inovasi, pemikiran keusahawanan dan keberanian mengambil risiko di semua peringkat pendidikan dan masyarakat.
Dengan ekosistem menyeluruh ini, pembangunan bakat keusahawanan mampu menjadi enjin baharu kemajuan negara, melahirkan generasi usahawan yang berjaya bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di persada global.-UTUSAN
DR. ROSSIDI USOP & CHLOE MONTAUGE
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) & MANCOSA University










