MANCHESTER: Manchester City berkemungkinan kehilangan sehingga tujuh pemain bagi menghadapi West Ham dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad, esok.
Bos City, Guardiola mengesahkan Oscar Bobb menjadi pemain terbaharu mengalami kecederaan selepas cedera di bahagian hamstring ketika bertemu Brentford dalam aksi Piala Liga, kelmarin.
Bobb kembali tersenarai dalam pasukan untuk suku akhir Piala Liga menentang Brentford, namun terpaksa dikeluarkan seawal separuh masa pertama selepas mengalami masalah kecederaan dan digantikan Phil Foden.
Jeremy Doku pula mengalami kecederaan otot minggu lalu yang memaksanya terlepas dua perlawanan terakhir manakala Omar Marmoush dan Rayan Ait-Nouri telah meninggalkan pasukan untuk menyertai Piala Negara-Negara Afrika selepas perlawanan menentang Crystal Palace.
Pep Guardiola mengesahkan Oscar Bobb mengalami kecederaan hamstring ketika menentang Brentford yang berkemungkinan menyebabkan City kehilangan sehingga tujuh pemain untuk perlawanan menentang West Ham.
Mateo Kovacic sedang mengalami kecederaan jangka panjang sementara status kecergasan Rodri dan John Stones masih belum pasti sama ada mereka cukup cergas untuk diturunkan.
Guardiola, dapat mengesahkan jenis kecederaan yang dialami Bobb namun tidak dapat memberikan tempoh pemulihannya.
“Selepas 10 hingga 15 minit, dia mengadu tentang masalah pada ototnya. Nampaknya ia adalah kecederaan hamstring. Harap-harap ia tidak serius dan dia boleh kembali tidak lama lagi,” katanya. – AGENSI










