Harga diesel Thailand lebih rendah kerana dilindungi dana bahan api

Harga diesel Thailand lebih rendah kerana dilindungi dana bahan api

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga diesel di Thailand lebih rendah berbanding Malaysia berikutan pelaksanaan langkah sokongan bahan api di negara jiran itu yang memberi perlindungan tertentu dalam mengekang kenaikan harga.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, mekanisme itu dikenali sebagai dana bahan api minyak yang merupakan satu bentuk subsidi tidak bersasar dan dilaksanakan secara menyeluruh.

Bagaimanapun katanya, pengumuman kerajaan Thailand pada akhir Mac lalu untuk beralih kepada subsidi lebih bersasar yang dijangka menjadikan harga diesel antara kedua-dua negara lebih hampir.

“Isu ini sering menimbulkan kekeliruan. Di Thailand, harga diesel disokong dengan perlindungan tertentu melalui apa yang dikenali sebagai dana bahan api minyak.

“Ia merupakan mekanisme subsidi yang tidak bersasar dan dilaksanakan secara menyeluruh. Di Malaysia, subsidi adalah bersasar. Namun, berdasarkan pengumuman terbaharu pada akhir Mac lalu, kerajaan Thailand turut mengambil pendekatan ke arah subsidi bersasar.

“Jika kesan subsidi itu tiada, perbandingan harga di pam ketika ini hampir sama, malah di Thailand boleh melebihi RM6 seliter,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Bicara Naratif Khas: Mendepani Cabaran Krisis Tenaga Global yang disiarkan di TV1, malam tadi.

Beliau mengulas soalan Ketua Pengarah Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM), Ashwad Ismail mengenai perbezaan harga diesel antara Thailand dan Malaysia.

Bermula kelmarin, harga diesel di Thailand meningkat sebanyak 3.50 baht seliter selepas Jawatankuasa Pengurusan Dana Bahan Api Minyak meluluskan pengurangan kadar subsidi pada Rabu lalu.

Dalam kenyataan, jawatankuasa itu memaklumkan keputusan tersebut dibuat susulan ketidaktentuan berterusan harga minyak global yang kekal tinggi dengan trend meningkat.

Dalam mesyuarat pada 1 April lalu, jawatankuasa berkenaan memutuskan untuk mengurangkan subsidi diesel di bawah dana tersebut sebanyak 4.11 baht seliter daripada 21.89 baht kepada 17.78 baht seliter selaras dengan keadaan pasaran serta bagi mengekalkan kecairan dana.

Susulan itu, harga runcit diesel di Thailand meningkat kepada 44.24 baht seliter (RM5.47) berkuat kuasa semalam.

Di Malaysia, harga runcit diesel di Semenanjung pula meningkat sebanyak 50 sen kepada RM6.02 seliter, manakala harga di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter bagi tempoh semalam hingga 8 April ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN