Harga minyak boleh kembali normal AS$65 hingga AS$75 jika rundingan berjaya

Harga minyak boleh kembali normal AS$65 hingga AS$75 jika rundingan berjaya

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga minyak mentah berpotensi kembali diniagakan pada paras normal sekitar AS$65 hingga AS$75 setong sekiranya saluran rundingan dan diplomasi bagi menamatkan konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran dapat direalisasikan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, penganalisis serta perancang syarikat tenaga lazimnya menggunakan pendekatan analisis senario bagi menilai kemungkinan hala tuju pasaran dalam situasi ketidaktentuan geopolitik semasa.

Beliau berkata, secara keseluruhan terdapat tiga senario utama yang berpotensi membentuk trajektori harga minyak dalam tempoh terdekat hingga sederhana.

Katanya, senario pertama menyaksikan harga minyak berada sekitar AS$65 hingga AS$75 setong, namun bagi senario kedua iaitu konflik berlarutan, gangguan bekalan dijangka menjadi ciri berterusan dalam pasaran global, sekali gus mendorong peningkatan kos rantaian bekalan serta tekanan harga.

“Dalam keadaan itu, harga minyak berkemungkinan kekal tinggi sekitar AS$85 hingga AS$90 setong. Senario ketiga pula dilihat paling membimbangkan oleh pemain industri.

“Jika pelbagai faktor negatif berlaku serentak termasuk gangguan laluan perdagangan utama serta serangan ke atas infrastruktur tenaga, kekurangan bekalan global boleh menjadi semakin serius. Keadaan ini berpotensi melonjakkan harga minyak melebihi AS$100 setong untuk tempoh panjang, malah berlarutan sehingga bertahun-tahun.

“Tekanan yang terhasil bukan sahaja dirasai negara yang terlibat secara langsung dalam konflik, malah memberi kesan meluas kepada ekonomi global khususnya melalui peningkatan kos tenaga dan gangguan kestabilan pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Bicara Naratif Khas: Mendepani Cabaran Krisis Tenaga Global yang disiarkan di TV1, malam tadi.

Tengku Muhammad Taufik berkata, ketidaktentuan geopolitik yang semakin meruncing khususnya melibatkan laluan tenaga utama dunia kini memberi tekanan besar kepada pasaran minyak global, sekali gus meningkatkan risiko lonjakan harga serta kos ekonomi berpanjangan.

Katanya, pasaran tenaga global kini berdepan realiti baharu yang jauh lebih kompleks berbanding sebelum ini apabila ia tidak lagi dipacu semata-mata oleh faktor permintaan dan bekalan.

Sebaliknya, ia turut dipengaruhi secara signifikan oleh geopolitik serta gangguan fizikal terhadap rantaian bekalan.

“Walaupun Malaysia mempunyai kelebihan sebagai pengeksport bersih tenaga tetap juga tidak terkecuali daripada tempias krisis berkenaan berikutan sifat pasaran minyak yang saling berkait di peringkat global.

“Malah, konflik yang tercetus sejak akhir Februari lalu bukan sekadar mencetuskan sentimen pasaran, sebaliknya telah mengganggu aliran fizikal bekalan tenaga dunia.

“Dalam situasi ini, pengeluaran mungkin masih berjalan, namun kekangan dari segi penghantaran sudah memadai untuk mencetuskan lonjakan harga yang ketara serta meningkatkan ketidaktentuan pasaran,” katanya.

Katanya, gangguan turut melibatkan laluan strategik seperti Selat Hormuz yang mengendalikan kira-kira 20 peratus bekalan minyak global serta gas asli cecair (LNG).

Kesan gangguan tersebut amat ketara apabila kos penghantaran meningkat sehingga tiga kali ganda, manakala premium insurans melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh dua dekad.

“Laluan ini bukan sahaja penting bagi minyak dan gas, malah turut melibatkan komoditi lain seperti helium untuk industri semikonduktor serta bahan baja seperti ammonia dan fosfat yang kritikal kepada sektor pertanian global,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN