LONDON: Bekas penyerang Arsenal, Thierry Henry menegaskan Mikel Arteta tidak boleh menjadikan kecederaan sebagai alasan untuk The Gunners gagal menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Kali terakhir The Gunners menjuarai trofi EPL ketika Henry beraksi bersama Arsenal dalam musim Invincibles yang bersejarah pada 2003-2004.
Pasukan kendalian Arteta kini mendahului carta liga dengan kelebihan dua mata ke atas Manchester City ketika memasuki tempoh perlawanan yang padat pada musim perayaan.
Namun, mereka dilanda masalah kecederaan, dengan pertahanan Ben White menjadi pemain terbaru yang mengalami kecederaan bagi menghadapi Everton, esok.
“Kecederaan, jadual yang padat, jangan kita jadikan itu alasan. Semua orang ada masalah masing-masing.
“Kita lihat siapa yang akan berada di sana pada penghujung musim. Saya tidak akan mengubah pendirian saya sejak awal musim, kita mesti memenangi liga.
“Ia mesti tahun ini. Saya percaya pasukan ini mampu melakukannya dan saya hanya berharap kami dapat melepasi garisan penamat itu.
“Dalam satu musim, anda akan lihat pasukan akan diuji, kecederaan akan berlaku dan perkara tidak akan sentiasa memihak kepada anda. Yang penting ialah bagaimana anda mengharunginya,” katanya. – AGENSI











