Azhan Md. Othman dilantik Panglima Tentera Darat ke-31

Azhan Md. Othman dilantik Panglima Tentera Darat ke-31

AZHAN MD OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral Datuk Azhan Md Othman dilantik sebagai Panglima Tentera Darat ke-31 berkuat kuasa esok.

Pelantikan tersebut dibuat selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera ke-631 yang bersidang pada 19 November 2025 dan telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 1 Disember lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pelantikan berkenaan diyakini mampu memperkukuh kepimpinan Tentera Darat Malaysia selain meningkatkan keupayaan operasi ATM dalam memenuhi tuntutan pertahanan negara pada masa kini dan hadapan.

Bagaimanapun katanya, keputusan Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera ke-631 mengenai pelantikan Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) ditangguhkan.

“Beliau telah diarahkan bercuti bagi membolehkan proses siasatan pihak berkuasa dijalankan berhubung dakwaan yang telah dilaporkan melibatkan dirinya.

“Justeru, pemangkuan tugas PAT akan dilaksanakan oleh Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy Ithnain selaku Panglima Tentera Laut seperti diumumkan pada 27 Disember lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Menurutnya, Kementerian Pertahanan menegaskan bahawa semua langkah yang diambil bertujuan menjunjung kedaulatan undang-undang serta memelihara integriti ATM.

“Ini bagi memastikan tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara terus dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.

Pada 27 Disember lalu, media melaporkan Muhammad Hafizuddeain bercuti berkuat kuasa serta-merta sehingga selesai siasatan kes yang dilaporkan terhadap beliau.

Mohamed Nordin dilaporkan berkata, langkah itu bagi memberi ruang pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan tertentu yang telah dilapor membabitkan pegawai berkenaan.

Bagi memberikan ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan tertentu yang telah dilaporkan melibatkan Panglima Tentera Darat, beliau akan bercuti berkuat kuasa serta-merta sehingga selesai siasatan. 

“Langkah pentadbiran ini diambil bagi memastikan proses siasatan berjalan lancar tanpa sebarang konflik kepentingan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN