Air mata kemenangan Norris

Air mata kemenangan Norris

LANDO NORRIS - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ABU DHABI: Lando Norris merangkul kejuaraan pemandu pertamanya semalam telah melengkapkan gelaran berganda pertama McLaren sejak 1998.

Norris meraih kejuaraan itu dengan pemanduan sempurna apabila dia menamatkan perlumbaan di tempat ketiga di belakang pemenang Red Bull, Max Verstappen dan rakan sepasukan Oscar Piastri.

Norris mengalirkan air mata, memenangi kejuaraan itu dengan kelebihan dua mata mengatasi Verstappen, yang melepaskan mahkotanya selepas empat tahun berturut-turut, dalam perlumbaan penamat musim di Grand Prix (GP) Abu Dhabi yang penuh ketegangan dan emosi, serta dikuasai oleh strategi dan taktikal.

“Saya sudah lama tidak menangis, saya ingat saya takkan menangis tetapi saya tetap menangis.

“Saya ingin berterima kasih kepada ibu dan ayah saya, mereka menyokong saya sejak dari awal.

“Rasanya luar biasa, sekarang saya tahu sedikit sebanyak apa yang Max rasa. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Max dan Oscar, saya sangat menikmatinya, ia satu tahun yang panjang!,” katanya.

McLaren, yang diketuai oleh prinsipal pasukan Andrea Stella dan ketua pegawai eksekutif, Zak Brown merangkul kejuaraan pengeluar dua tahun berturut-turut di Singapura bulan lalu.

“Itu mendebarkan, sedikit terlalu mendebarkan, luar biasa.

“Usaha yang hebat, Lando dan Oscar, satu musim yang menakjubkan!.

“Saya sangat bangga dengan pemandu kami, kami biarkan mereka berlumba hingga ke akhir. Ia satu impian bersama dua pemandu ini, kerana lelaki bernama Max itu sangat sukar ditandingi jadi ini satu pencapaian besar,” katanya.

Norris menjadi warga Britain pertama yang bergelar juara dunia sejak Lewis Hamilton pada 2020 dengan gelaran pemandu ke-13 untuk McLaren.

Menilai perjalanan menuju kegemilangannya, Norris berkata: “Seperti yang kita lihat berkali-kali, apa sahaja boleh berlaku. Jadi saya terus menekan. Saya mahu berjuang hingga akhir. (Verstappen dan Piastri) benar-benar tidak memudahkan hidup saya tahun ini. Tetapi saya gembira!

“Ia merupakan perjalanan yang panjang bersama McLaren, saya bersama mereka selama sembilan tahun.

“Untuk saya membawa sesuatu kembali kepada mereka, saya rasa saya telah lakukan bahagian saya untuk pasukan tahun ini jadi saya bangga dengan diri saya,” katanya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN