PUTRAJAYA: Harga ubat-ubatan di negara ini dilaporkan meningkat antara 30 hingga 40 peratus berikutan kenaikan kos logistik, pengangkutan dan bahan api.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, peningkatan itu turut memberi kesan kepada kos peranti perubatan yang mencatatkan kenaikan lebih tinggi sebelum itu.
“Pastinya harga ubat sudah pun mula meningkat kerana perkara ini berkait dengan logistik, pengangkutan dan minyak.
“Kita dapati kos kenaikan harga ubat-ubatan berlaku lebih kurang 30 hingga 40 peratus,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Sambutan Hari Pendengaran Sedunia 2026 Peringkat Kebangsaan di sini semalam.
Katanya, harga peranti perubatan pula dikesan meningkat lebih ketara susulan gangguan penghantaran konsainan pada peringkat awal.
“Peranti perubatan mungkin lebih tinggi kerana pada awalnya terdapat penangguhan penghantaran. Peranti itu sebelum Mac lagi, mereka telah buat satu put on hold, jadi itu yang menyebabkan kenaikan harga lebih awal, dengan peningkatan antara 50 hingga 100 peratus,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Prof. Dr. Amrahi Buang berkata, peningkatan harga ubat-ubatan bukan hanya berlaku di negara ini, sebaliknya merupakan satu senario global melibatkan semua negara.
Katanya, kenaikan itu bukan sahaja melibatkan ubat siap, malah turut merangkumi peningkatan kos bahan aktif (API), eksipien, bahan pembungkusan dan logistik.
“Isu ini memang kritikal kerana ia bersifat krisis. Kesan dialami adalah besar dan berkemungkinan mengambil masa yang panjang.
“Namun, kenaikan sebanyak 30 hingga 40 peratus itu hanyalah anggaran semata-mata dan tiada pihak yang mampu memberikan angka tepat,” katanya.
Menurut beliau, golongan yang paling terkesan ialah pesakit yang memerlukan rawatan bagi penyakit kronik seperti diabetes, tekanan darah tinggi, kanser serta penyakit berjangkit.
Mengenai langkah menangani kenaikan harga, Amrahi berkata, kerajaan ketika ini memantau situasi tersebut secara berterusan.
“Usaha kerajaan untuk menyediakan stok penimbal dan pelaksanaan inisiatif MyMedSecure merupakan langkah strategik dan berkesan, selain dipantau rapi melalui Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN) dan Kabinet.
“Bagi ubat-ubatan farmasi, termasuk ubat bebas (OTC), suplemen dan produk tradisional, orang ramai disaran mendapatkan bekalan daripada farmasi komuniti dengan konsultasi yang sewajarnya,” katanya. – UTUSAN










