KUALA LUMPUR: Adik Beradik Kuala Lumpur (ABKL) menyasarkan penglibatan komuniti permainan dari luar negara menerusi penganjuran ABKL Experience 2025, acara sulung yang memperkenalkan ekosistem tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif ABKL, Muzammil Mudzakir berkata penganjuran ini bertujuan membina komuniti permainan yang bukan hanya tertumpu di Malaysia, sebaliknya berkembang ke peringkat serantau dan antarabangsa.
“Ini penganjuran kali pertama kami. Fokus utama adalah untuk melihat sambutan dan pada masa sama membuka peluang supaya komuniti luar negara turut menyertai acara ABKL pada masa akan datang,” katanya.
Menurutnya,ABKL Experience 2025 menghimpunkan kira-kira 1,000 peserta terdiri daripada pemain, penstrim, pembangun sistem, pempengaruh serta komuniti roleplay dari seluruh negara, selain kehadiran pemerhati industri dari beberapa negara jiran.
Tambahnya, kerjasama dengan jenama antarabangsa seperti Zotac dan Predator menjadi langkah awal ke arah menjadikan acara ini lebih kompetitif dan berimpak lebih besar.
“Maklum balas yang diterima amat menggalakkan dan ia menjadi asas untuk penambahbaikan serta penganjuran yang lebih baik pada masa hadapan,” katanya.
Expo dan Pra-Kejohanan GTA V FiveM mencatat sejarah pertama di Malaysia, selain menampilkan konsep pertandingan roleplay kompetitif yang berbeza daripada e-sukan konvensional.










