Penyanyi, Adira Suhaimi, menegaskan bahawa dirinya tidak pernah menganggap bekas suami, Datuk Seri Adnan Abu atau Datuk Red, sebagai bayangan yang menyukarkan mana-mana lelaki lain untuk mendekati dirinya, apatah lagi setelah bergelar seorang ibu tunggal.
Menurut Adira, meskipun namanya sering dikaitkan dengan figura bekas suami, ia langsung tidak menjejaskan keyakinan diri atau kehidupannya.
Jelasnya, masyarakat mungkin beranggapan statusnya dan liputan media mengenai kisah rumah tangganya mampu membuatkan mana-mana lelaki berasa ‘takut’ untuk mendekati.
Namun bagi Adira, itu bukan sesuatu yang hadir dalam fikirannya.
“Tentang soalan orang kata saya tak takut ke asyik dikaitkan dengan bekas suami atau orang takut nak dekati saya, atau nak mulakan kehidupan baru tak semudah itu.
“Saya sebenarnya tak fikir pun benda-benda itu. Saya tak fikir orang nak takut dekat ke atau pasal nak mula hidup baru.
“Sebab saya rasa sejak dah bercerai, bergelar ibu tunggal, bagi saya itulah kehidupan baru. Kehidupan yang saya kena biasakan. Walaupun sebelum ini saya dah lama buat keputusan sendiri, urus semua sendiri, tapi inilah kehidupan baru untuk saya dan anak-anak,”katanya.
Berkongsi lanjut, Adira juga berkata, dia tidak kisah andai kerap ‘dikaitkan’ dengan Datuk Red setiap kali muncul di media sosial kerana mengakui hal itu sedikit sebanyak boleh mencetuskan perhatian dan engagement buat bekas suaminya itu yang mencari rezeki di media sosial.
“Saya sangat tidak kisah. Macam mana pun, dia tetap ayah kepada anak-anak saya.
“Kalau ada rezeki dia, ada kebaikan daripada apa yang dia usahakan, insya-Allah ia akan sampai kepada anak-anak saya juga,” tambahnya dengan nada tenang.
Adira juga menegaskan, bahawa dia dan bekas suami kini membawa haluan masing-masing setelah berpisah.
Namun jika mereka perlu berurusan atau bertemu, kedua-duanya memilih untuk kekal profesional demi anak-anak.
Sementara itu, menjawab pertanyaan mengenai nafkah anak-anak, Adira memilih untuk bersikap berhati-hati dalam berbicara.
“Saya tak mahu komen tentang hal itu. Tapi saya sentiasa doakan rezeki dia murah, ada kemajuan hidup, apa yang dia nak akan tercapai.
“Saya ini tak nak susahkan dia, tak nak terlalu memaksa. Kalau dia ada duit, dia bagi. Kalau tak ada pun tak apa. Saya pun ada kerja, Alhamdulillah ada pendapatan untuk saya dan anak-anak,” jelasnya.
Menurut penyanyi itu, walaupun tidak menerima banyak, rezeki yang diperolehnya tetap mencukupi untuk menampung keperluan sekolah dan kehidupan harian anak-anak.
Baginya yang paling penting adalah kestabilan dan kebahagiaan keluarga kecilnya.
WANITA PERLU BEKERJA
Dalam masa sama, Adira berkongsi pandangan mengenai keperluan wanita, terutama yang sudah berumah tangga, untuk memiliki sumber kewangan sendiri.
“Perempuan memang kena bekerja. Walaupun ada suami yang sayang, yang bertanggungjawab, bagi nafkah cukup, kita tetap kena ada duit sendiri.
“Kita tak tahu apa boleh jadi esok. Kita tak nak terduduk kalau diuji. Bukan sebab nak tunjuk kuasa atau nak berlagak boleh hidup sendiri, tapi sebab kita tahu kita boleh cari,” katanya.
Menurut Adira, memiliki pendapatan sendiri memberi wanita kekuatan, keyakinan dan ruang untuk membuat keputusan dengan lebih tenang tanpa bergantung sepenuhnya kepada pasangan.
Malah, dia turut menasihatkan para isteri agar tahu had dalam membantu suami agar tidak terbiasa memikul tanggungjawab secara berlebihan.
“Isteri kena tahu limitasi untuk bantu suami sampai tahap mana. Kadang-kadang kita baik hati, tak kisah bantu, tapi nanti bila dah biasa, dia pula jadi manja. Kita tak nak macam itu,” katanya.
Untuk rekod, Adira dan Adnan pernah berkahwin pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua, namun bercerai pada 24 April tahun lalu.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5, dan Ayob yang kini berusia 3 tahun.-UTUSAN










