SEOUL: Kira-kira 40,000 peminat membanjiri pusat bandar Seoul pada Sabtu bagi menyaksikan kemunculan semula kumpulan K-pop, BTS selepas berehat selama empat tahun.
Menurut pihak berkuasa, konsert yang berlangsung di Dataran Gwanghwamun itu bermula pukul 8 malam dan menarik antara 40,000 hingga 42,000 pengunjung.
Kawasan berkenaan menyediakan kira-kira 22,000 ruang berdiri dari Dataran Gwanghwamun hingga ke Dewan Bandaraya Seoul, manakala sebahagian peminat menyaksikan persembahan menerusi skrin besar di sekitar lokasi.
Langkah keselamatan dipertingkatkan dengan kira-kira 15,000 petugas dikerahkan termasuk 6,700 anggota polis susulan kehadiran pengunjung dari dalam dan luar negara.
Beberapa jalan utama ditutup sejak Jumaat malam, manakala operasi pengangkutan awam diselaraskan dengan beberapa stesen tidak berhenti sementara waktu.
Pihak berkuasa turut mewujudkan zon kawalan orang ramai serta memperketat pemeriksaan keselamatan bagi mengelakkan sebarang ancaman keganasan.-AGENSI










