Koleksi sampul duit raya jadi trend Syawal

Koleksi sampul duit raya jadi trend Syawal

KUMPUL sampul raya jadi trend Syawal.-GAMBAR MEDIA SOSIAL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sambutan Aidilfitri kini bukan lagi sekadar tertumpu kepada baju dan juadah, sebaliknya trend ‘hunting’ sampul raya semakin menjadi fenomena baharu dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan muda.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, trend tersebut kian mendapat perhatian apabila beberapa bank tampil dengan sampul raya edisi terhad yang unik dan kreatif sehingga menjadi rebutan ramai, malah ada yang menjadikannya koleksi tahunan.

Pekerja swasta, Elliana Shahiza, 22, berkata, reka bentuk sampul raya masa kini semakin menarik dan unik sehingga membuatkannya lebih cenderung untuk menyimpan berbanding menggunakannya.

Katanya, walaupun baru dua tahun mengumpul sampul raya, minat itu bukan didorong oleh demi mengejar populariti, sebaliknya kerana nilai sentimental yang terdapat pada setiap edisi.

“Setiap corak yang dikeluarkan mempunyai keunikan tersendiri dan berbeza setiap tahun, menjadikannya lebih bermakna untuk disimpan sebagai kenangan.

“Tahun ini, sampul raya daripada Bank Islam antara yang paling menyerlah dengan motif batik yang menarik perhatian ramai.

“Setakat ini, saya sudah mengumpul lebih 200 sampul raya daripada pelbagai bank.

Menariknya, tahun ini saya terpaksa bersaing dengan pelbagai peringkat umur kerana stok agak terhad,” katanya.

Menurutnya, trend itu turut dipengaruhi perkongsian di media sosial seperti Threads, yang menyebabkan sampul raya edisi tertentu cepat habis.

Sementara itu, seorang lagi pengemar hobi sama, Jazri Hamdan, 40, berkata, minat mengumpul sampul raya yang bermula sejak 2021 kini menjadi hobi serius, walaupun semakin mencabar untuk mendapatkan koleksi dalam jumlah banyak.

“Dulu lebih mudah, tetapi sekarang semakin ramai yang ‘hunting’, jadi agak sukar untuk dapatkan dalam kuantiti besar seperti dahulu.

“Setiap sampul yang diperoleh akan disimpan dalam plastik asal dan diletakkan di tempat bersih bagi memastikan ia tahan lama,” katanya.

Beliau turut bersyukur kerana mempunyai kenalan yang membantu mendapatkan sampul raya daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), memandangkan permintaan yang semakin meningkat saban tahun. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN