ALOR SETAR: Suspek yang menetak abang iparnya hingga putus kepala dipercayai enggan mengambil ubat serta menerima rawatan psikiatri sejak lima bulan lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, lelaki berusia 38 tahun itu dipercayai mengalami halusinasi sebelum bertindak menyerang mangsa dalam kejadian tragis itu.
“Suspek memang ada kad rawatan (psikiatri) dan dipercayai berhenti atau enggan menerima rawatan kira-kira lima bulan lalu. Saya percaya ia lebih kepada halusinasi, dia mungkin berprasangka buruk terhadap mangsa,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.
Menurut beliau, suspek sebelum ini menerima rawatan di Hospital Alor Setar selepas mengalami kemurungan sejak 2021 dan dia kini direman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan seorang pesawah berusia 45 tahun ditemukan maut dalam keadaan mengerikan selepas ditetak dengan parang oleh adik iparnya dalam kejadian di kawasan sawah di Kampung Pida 3, kira-kira pukul 7.05 malam Jumaat lalu.
Dalam kejadian itu, mayat mangsa, Nasir Md. Nayan, 45, ditemukan dalam keadaan diselaputi lumpur dengan kepala terpisah daripada badan. Bahagian kepala dijumpai pada jarak kira-kira satu meter dari lokasi badan mangsa.
Suspek selepas kejadian didapati berada di dalam rumahnya dan ditahan polis selepas dipujuk selama kira-kira 15 minit dalam keadaan masih memegang parang.
Hasil ujian air kencing yang dilakukan ke atas suspek didapati negatif dadah, namun keluarga memaklumkan lelaki terbabit mengalami gangguan perasaan. – UTUSAN









