Tiada arahan lima ADUN Bersatu tandatangan SD - Muhyiddin

Tiada arahan lima ADUN Bersatu tandatangan SD – Muhyiddin

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada arahan dikeluarkan kepada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menandatangani sebarang Akuan Berkanun (SD) yang menyatakan penolakan sokongan terhadap Mohd. Shukri Ramli sebagai Menteri Besar.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Bersatu hanya menyembah maklum nama calon Menteri Besar Perlis dari parti itu selepas dititah oleh Istana Perlis untuk berbuat demikian.

“Justeru, Bersatu akan mendengar penjelasan ADUN-ADUN Bersatu negeri Perlis bagi mengetahui kedudukan sebenar berkenaan isu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, PN menghormati kuasa budi bicara Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Katanya, PN juga menjunjung Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis dalam pelantikan Menteri Besar.

“PN menghormati kedudukan Pas sebagai parti yang memimpin PN di Perlis. Saya berharap isu berkaitan kedudukan Menteri Besar Perlis dapat diselesaikan dalam semangat keluarga besar PN.

“Saya yakin bahawa parti-parti anggota PN mempunyai kaedah masing-masing untuk menguruskan sebarang isu yang berbangkit dengan berhemah demi menjamin kestabilan dan kelangsungan pentadbiran PN di Perlis,” katanya.

Semalam, akhbar ini melaporkan, perebutan jawatan dan desakan kepentingan tertentu termasuk tuntutan projek bercanggah dengan prinsip integriti serta bebas rasuah menjadi punca kemelut politik Perlis sehingga menyaksikan Mohd. Shukri meletak jawatan Menteri Besar.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, pihaknya mempertahan kepemimpinan Mohd. Shukri semasa menerajui pentadbiran dan menyifatkan kemelut politik bukan disebabkan kelemahan ADUN Sanglang berkenaan.

Katanya, keengganan Mohd. Shukri tunduk kepada tekanan tertentu menyebabkan beliau dizalimi dan bukannya berlaku zalim walaupun pentadbirannya diterima rakyat serta dilihat memerintah dengan adil dan berintegriti.
Tanpa memperincikannya, beliau berkata, dua faktor utama itu sukar diterima menyebabkan Pas mengambil pendirian tegas.

Krisis politik di Perlis selepas wujud gerakan lima ADUN Bersatu dan tiga daripada Pas menarik sokongan terhadap Mohd. Shukri.

Susulan itu, tiga ADUN Pas terlibat terhenti keahlian serta-merta dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan kemudian mengumumkan kekosongan luar jangka kerusi Chuping, Bintong dan Guar Sanji. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN