ISTANBUL: Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh manakala 18 lagi cedera dalam satu letupan di sebuah masjid di bandar Homs, tengah Syria, ketika solat Jumaat, menurut Kementerian Kesihatan.
Pengarah Perkhidmatan Kecemasan dan Ambulans, Najeeb Al-Naasan, berkata angka korban masih belum dimuktamadkan dan kemungkinan meningkat, lapor Anadolu Ajansi.
Serangan itu disasarkan ke Masjid Imam Ali ibn Abi Talib di Jalan Al-Khodari, kawasan Wadi al-Dhahab.
Unit keselamatan segera dikerah ke lokasi kejadian dan mengawal keselamatan di sekitar kawasan berkenaan. Pasukan khas telah memulakan siasatan serta mengumpul bukti bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.
Setakat ini, tiada kumpulan pengganas mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu. Pihak berkuasa Syria sedang memperketat langkah keselamatan di seluruh negara serta memburu saki-baki rejim lama yang dituduh mencetuskan ketidakstabilan keselamatan.
Presiden Bashar al-Assad, yang memerintah Syria hampir 25 tahun, telah melarikan diri ke Rusia, sekali gus menamatkan pemerintahan Parti Ba’ath yang berkuasa sejak 1963.
Sebuah pentadbiran peralihan baharu diketuai Presiden Ahmad al-Sharaa dibentuk pada Januari lalu.
Serangan ini menambah kebimbangan keselamatan di Syria yang masih bergelut dengan ketidakstabilan politik dan konflik bersenjata sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pasukan keselamatan terus meningkatkan rondaan dan pemantauan di kawasan awam bagi mengelak kejadian seumpama itu berulang.









