PETALING JAYA: Malaysia menegaskan suara rantau ASEAN perlu diberi perhatian dalam menentukan hala tuju global khususnya berkaitan perubahan iklim, keselamatan makanan dan peralihan tenaga.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara-negara di rantau ini telah lama berdepan bencana dan tekanan iklim oleh itu pengalaman tersebut wajar diangkat sebagai sebahagian daripada agenda dunia.
“Suara rantau kita yang sekian lama dirundung risiko bencana dan malapetaka iklim mesti diambil kira dan menjadi sebahagian daripada hala tuju global.
“Pengalaman ASEAN telah menjadi petunjuk bahawa daya tahan tidak hanya terbina pada saat kemelut, tetapi mesti terpacul melalui pelaburan dan pendanaan awal, termasuk sistem amaran awal, dan kerjasama rentas sempadan yang berpaksikan kemanusiaan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Anwar berkata, dunia perlu berdepan realiti bahawa permintaan tenaga global masih belum seiring kemampuan teknologi bersih untuk mencapai matlamat pengurangan karbon.
“Dalam hal ini, kita mesti jujur, pragmatik dan berani. Oleh itu, mesti ditegaskan di sini bahawa Malaysia sedang gigih melabur dalam teknologi yang mengurangkan jejak karbon dan dampaknya.
“Ia mencakup dari CCUS hingga kepada rangkaian tenaga serantau kerana ini jalan sebenar untuk memastikan peralihan tenaga tidak hanya tinggal slogan semata tetapi mesti menjadi jalur yang dapat ditempuh oleh rakyat terbanyak tanpa menanggung beban yang memeritkan,” katanya.
Beliau berkata, peralihan tenaga tidak boleh sekadar menjadi slogan, sebaliknya mesti dilaksanakan secara realistik tanpa membebankan rakyat.
Katanya, pembangunan tidak akan bermakna sekiranya manusia dipinggirkan, khususnya golongan kecil seperti petani dan komuniti rentan.
“Dunia memerlukan sistem kewangan iklim yang lebih adil serta rangka kerja global yang tidak meminggirkan negara membangun jauh di belakang,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia akan kekal komited memperkukuh kerjasama serantau dan antarabangsa bagi memastikan ketahanan, keadilan dan kesejahteraan menjadi realiti kepada jutaan rakyat yang bergantung pada keputusan yang dibuat di Johannesburg, Afrika Selatan. – UTUSAN







