Sel baharu TPA Sungai Udang dibina elak risiko pencemaran

Sel baharu TPA Sungai Udang dibina elak risiko pencemaran

HEE Loy Sian (kiri) pada Kempen ‘Jangan Gunalah: Plastic Free Bermula Dari Saya’ di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Ayer Keroh, hari ini. - UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sebuah sel baharu di tapak pelupusan sementara (TPA) Sungai Udang akan dibina tahun depan bagi mengelakkan risiko pencemaran berikutan kawasan sedia ada hampir mencapai kapasiti maksimum.

Pengerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Hee Loy Sian berkata, langkah itu penting bagi memastikan sistem pelupusan sisa pepejal di negeri ini kekal selamat dan terkawal.

Ia sementara menunggu pembinaan loji rawatan sisa kepada tenaga atau Waste to Energy (WTE) siap menjelang 2029.

“Apabila tapak pelupusan sedia ada mencapai kapasiti penuh, risiko pencemaran meningkat termasuk kebocoran air larut resapan (leachate) yang boleh mencemarkan sumber air.

“Pembinaan sel baharu di kawasan sama ini sebagai penyelesaian sementara sebelum loji WTE siap sepenuhnya bagi memastikan kelestarian alam sekitar terus terpelihara,” katanya selepas merasmikan Kempen ‘Jangan Gunalah: Plastic Free Bermula Dari Saya’ di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Ayer Keroh hari ini.

Menurutnya, pembinaan sel baharu kini dalam proses tender dan akan dibina berhampiran tapak sedia ada bagi memastikan operasi pelupusan tidak terganggu.

“Tapak pelupusan sekarang memang tidak mampu lagi menampung sisa pepejal yang ada. Kira-kira 1,100 tan sisa dihantar ke tapak berkenaan setiap hari.

“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) sedang dalam proses tender untuk menambah satu sel baharu sebagai langkah sementara dan kita berharap ia dapat beroperasi tahun depan,” katanya. 

Loy Sian berkata, walaupun pembinaan loji WTE di Sungai Udang akan menjadi penyelesaian jangka panjang kepada isu pelupusan sampah di negeri ini, namun penggunaan tapak pelupusan tetap diperlukan kerana tidak semua sisa boleh dibakar.

Tambahnya, walaupun ada loji WTE, masih ada antara tiga hingga lima peratus sisa yang tidak boleh dibakar dan perlu dilupuskan di tapak pelupusan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×