PETALING JAYA: Wanita yang muncul dalam video tular dikenali sebagai Sofia Rini Buyong, menegaskan bahawa beliau tidak pernah menjadi proksi kepada bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin.
Beliau dalam masa yang sama turut menolak dakwaan yang mengaitkannya dengan isu lesen perlombongan.
Dalam video penjelasan yang dimuat semalam, Sofia Rini juga berkata, beliau juga tidak pernah berbincang dengan Shamsul Iskandar mengenai sebarang urusan berkaitan lesen perlombongan seperti didakwa
“Saya menegaskan di sini bahawa saya bukan proksi Shamsul Iskandar.
“Saya juga ingin memberi penjelasan bahawa saya tidak pernah berjumpa dan mengadakan sebarang perbincangan dengan PMX (Perdana Menteri Anwar Ibrahim) berhubung dakwaan yang dibuat Albert,” katanya.
Pada 25 November lalu, ahli perniagaan Albert Tei dalam satu video mendakwa Shamsul Iskandar terlibat dalam skandal berkaitan urusan perlombongan di Sabah, termasuk mendakwa beliau menyerahkan RM629,000 kepada pemimpin PKR itu.
Menurut Albert, pembayaran itu dibuat selepas Shamsul Iskandar memberi jaminan bahawa wang yang disalurkan kepada beberapa ahli politik di Sabah boleh diperoleh semula.
Pada hari yang sama, Shamsul Iskandar meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Albert turut mendakwa bahawa beliau diperkenalkan kepada Shamsul Iskandar oleh seorang wanita yang didakwa sebagai ‘proksi’ kepada bekas setiausaha politik kanan itu.
Dalam pada itu, Sofia Rini berkata, pertemuannya dengan ahli perniagaan Albert Tei turut dirakam tanpa pengetahuannya dan didakwa dirancang oleh individu itu.
“Perjumpaan sebenarnya berdurasi lebih satu jam… Albert berkali-kali mengulangi naratifnya dan berkali-kali mendorong saya untuk mengesahkan naratifnya,” katanya.
Sofia mendakwa tindakan tersebut merupakan satu konspirasi jahat bertujuan mencemarkan nama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta Shamsul Iskandar.
“Ia satu percubaan untuk menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik,” katanya
Beliau turut menolak dakwaan bahawa sebarang dana diberikan kepada Shamsul Iskandar berkaitan lesen perlombongan, sambil menegaskan bahawa mereka tidak pernah membincangkan perkara tersebut.
Sofia berkata beliau telah mendapatkan nasihat guaman dan meminta pihak polis membuka siasatan terhadap Albert Tei dan pihak-pihak lain yang didakwa terlibat di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia. – UTUSAN










