TOKYO: Seorang lelaki berusia 79 tahun ditahan polis Jepun selepas disyaki membunuh ibunya yang berusia 100 tahun di kediaman mereka di barat Tokyo, susulan pengakuannya bahawa beliau “terlalu letih menjaga” warga emas itu, lapor Kyodo News.
Menurut polis, suspek, Masato Watabe, didakwa menutup mulut ibunya, Masako, dan melakukan perbuatan ganas lain terhadap mangsa kira-kira pukul 1 tengah hari (waktu tempatan) di rumah mereka di Machida, Tokyo.
Tidak lama selepas itu, pada pukul 2.10 petang, Masato membuat panggilan kecemasan sebelum mangsa dibawa ke hospital dan disahkan meninggal dunia.
Kes tragis ini sekali lagi menyerlahkan masalah sosial di Jepun susulan kadar kelahiran yang terus merosot dan populasi warga emas yang semakin meningkat, menyebabkan ramai individu yang sudah berusia tetapi masih perlu menjaga saudara-mara mereka yang jauh lebih tua.
Polis memaklumkan Masato mengakui perbuatannya dan kini ditahan bagi membantu siasatan.
Kedua-duanya tinggal bersama dan pihak berkuasa sedang meneliti keadaan serta tekanan yang mungkin mendorong berlakunya kejadian itu.










