Kerajaan laksana segera tuntutan 40 peratus hasil Sabah

Kerajaan laksana segera tuntutan 40 peratus hasil Sabah

ANWAR Ibrahim bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor hadir pada Program Temu Rapat Dengan Pimpinan Masyarakat Tempatan dan Sahabat Usahawan Tuaran di Dewan Kebudayaan Bajau Samah, Sulaman, Tuaran.-UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUARAN: Tuntutan 40 peratus hasil Sabah kekal menjadi fokus kerjasama antara Persekutuan dan Sabah dengan kerajaan Pusat segera memastikan pelaksanaannya mengikut saluran dipersetujui di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan Persekutuan komited menunaikan tuntutan pemberian itu dengan kadar segera seperti termaktub dalam undang-undang.

Katanya, justeru itu antara langkah konkrit dilakukan kerajaan dengan ia dibawa ke perbincangan mesyuarat Jemaah Menteri dan diumumkan secara terbuka di Parlimen.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri menjadi faktor penting yang memudahkan proses rundingan dalam menyelesaikan hak Sabah.

“Saya bawa perkara ini ke Jemaah Menteri. Kalau hubungan dengan Kerajaan Negeri baik, lebih mudah untuk kita tuntut dan laksanakan.

“Saya sudah sebut di Jemaah Menteri dan di Parlimen, Ya, kerajaan Persekutuan akan menghormati dan melaksanakan 40 peratus itu dengan segera.

“Sebab itu saya perlu bincang, perlu runding, perlu teliti perjanjian dan lihat kes secara menyeluruh. Janji dahulu, kita tunaikan. Ini kerajaan negeri sekarang yang bangkit dan terus memperjuangkan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Temu Rapat dengan Pimpinan Masyarakat Tempatan dan Sahabat Usahawan di sini hari ini.

Anwar juga menegur segelintir ahli politik mengenai isu 40 peratus hasil tanpa memahami proses rundingan serta perjanjian yang mesti diteliti sebelum keputusan dapat dimuktamadkan.

“Ini bukan 20 juta. Ini bilion, bilion. Kita kena teliti perjanjian, kena pastikan angka betul. Bila betul, kita tunaikan. Siapa yang tunai selama ini?” katanya.

Katanya, komitmen melaksanakan tuntutan itu hanya dapat dicapai menerusi hubungan erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan khususnya kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Kalau negeri baik dengan kita, bincang baik-baik, kita selesaikan. Ini kerja Ketua Menteri yang penting. Kerajaan negeri bawa kes, kita setuju,” katanya.

Anwar menjelaskan bahawa kerajaan Persekutuan meluluskan RM1.2 bilion tambahan bagi membantu Sabah menyelesaikan masalah tenaga berlarutan sejak puluhan tahun termasuk kawasan masih belum menikmati bekalan elektrik stabil.

Anwar berkata, Sabah tetap menjadi istimewa dirinya meskipun beliau bukan berasal dari negeri ini.

Perdana Menteri sempat berseloroh ketika mengulas penglibatan dalam arena politik, sambil menegaskan semangatnya sebagai anak Malaysia sejati.

“Sebab itu saya tegaskan, saya Melayu, saya anak Pulau Pinang. Walaupun baru-baru ini saya bertanding di Negeri Sembilan, dan sebelum itu di Perak. 

“Mungkin kali ini, jika Hajiji setuju, saya akan bertanding di Kota Kinabalu, Sabah. Boleh, kan?”

“Saya ingin tunjukkan bahawa saya adalah anak Malaysia sejati. Maksud saya, saya bukan dari Sabah, tetapi Sabah tetap menjadi negeri saya juga, kerana rakan-rakan dan saudara-mara saya berada di sini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri mengingatkan pengundi agar menilai rekod dan pencapaian sebenar kepimpinan, bukannya retorik perpecahan atau sentimen sempit.

“Politik bukan marah setiap hari dan kata orang lain semua tak betul. Kita jaga rakyat semua Kadazan, Murut, Bugis, Cina, Muslim, Kristian, itu tanggungjawab kerajaan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN