Karya asli Renoir potretkan wajah anak dilelong RM8.58 juta

Karya asli Renoir potretkan wajah anak dilelong RM8.58 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Sebuah lukisan istimewa hasil karya pelukis impresionis Perancis, Pierre-Auguste Renoir menggambarkan anak lelakinya yang masih kecil, Jean, terjual pada harga 1.8 juta euro (RM8.58 juta) dalam satu lelongan di Paris pada Selasa, menurut rumah lelong Drouot.

Lukisan minyak berjudul L’enfant et ses jouets – Gabrielle et le fils de l’artiste, Jean atau bermaksud ‘Kanak-kanak dan Mainannya – Gabrielle dan anak si pelukis, Jean’ itu tidak pernah dipamerkan atau dijual sebelum ini.

Ia dimiliki oleh ibu baptis Jean, Jeanne Baudot, seorang rakan dan anak murid Renoir, yang kemudiannya mewariskan lukisan tersebut kepada ahli keluarganya.

Dipercayai dilukis antara 1890 hingga 1895, karya itu memaparkan anak kedua Renoir yang juga penerbit filem dan pemenang Oscar itu, sedang duduk bersama pengasuhnya.

Sejarawan Seni dan Pakar Pengkaji Karya Renoir, Pascal Perrin memuji keadaan luar biasa karya itu yang tidak pernah menjalani sebarang proses pemulihan ketika beliau mempersembahkan lukisan tersebut di rumah lelong Drouot.

Anak lelaki Renoir, Jean yang dilahirkan pada 1894, kemudian menerima Anugerah Akademi untuk Pencapaian Sepanjang Hayat pada tahun 1975, beberapa tahun sebelum beliau meninggal dunia pada usia 84 tahun.

Antara karya terkenalnya termasuk filem klasik tahun 1930-an, La Grande Illusion yang mengisahkan dua tawanan perang Perancis yang cuba melarikan diri daripada tahanan Jerman semasa Perang Dunia Pertama.

Lukisan itu sebelum ini dinilai antara 1 hingga 1.5 juta euro (RM4.8 juta hingga 7.17 juta) dan dibeli oleh seorang pembeli antarabangsa, menurut Drouot pada Selasa.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN