Sarawak rancang tubuh fakulti perubatan di IPT kepunyaan sendiri

Sarawak rancang tubuh fakulti perubatan di IPT kepunyaan sendiri

ANNUAR Rapaee ketika bercakap dalam persidangan Dewan Undangan Neger (DUN) Sarawak ke-19, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang meneliti keperluan untuk menubuhkan sebuah fakulti perubatan di institusi pengajian tinggi kepunyaan Sarawak, sebagai langkah menangani isu kekurangan kakitangan perubatan yang amat kritikal di negeri ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee berkata ketika ini, penubuhan kumpulan kajian kebolehlaksanaan sedang dicadangkan yang diamanahkan kepada Universiti Teknologi Sarawak (UTS) untuk menjalankan penyelidikan selama enam bulan mengenai keperluan itu.

“Adalah sangat penting untuk kita menjalankan kajian kebolehlaksanaan. Ini merupakan salah satu syarat untuk kita diberikan lesen bagi mengendalikan fakulti perubatan,” katanya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, hari ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata antara objektif kajian tersebut adalah untuk menilai permintaan terhadap program pengajian perubatan peringkat sarjana muda.

Selain itu, katanya untuk menilai keupayaan institusi dari segi tenaga manusia dan infrastruktur serta untuk menentukan atau menilai sama ada dari segi peraturan dan prosedur oleh Kementerian Pendidikan Tinggi, Majlis Perubatan Malaysia serta Agensi Kelayakan Malaysia, semuanya dipatuhi.

Annuar menambah, ia juga untuk menentukan keupayaan kewangan, untuk memastikan penilaian yang tepat terhadap risiko yang mungkin berlaku dan bagaimana untuk mengurangkan risiko tersebut serta untuk mengesyorkan satu pelan hala tuju dari segi pelaksanaan, akreditasi dan pengambilan pelajar.

Menurutnya, komitmen Kerajaan Sarawak itu adalah bagi menangani isu kekurangan kakitangan perubatan di Sarawak yang amat kritikal.

“Untuk pegawai perubatan, jumlahnya ialah 1,817 orang sementara untuk pakar, kita kekurangan 246 orang manakala jururawat kekurangan 2,300 orang untuk seluruh Sarawak,” katanya.

Justeru, Annuar turut memohon agar Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan segera mengenai masalah itu kerana perkhidmatan kesihatan merupakan hak asasi manusia untuk rakyat Sarawak.

“Ini adalah satu tahap kritikal. Perlu diingatkan bahawa tanggungjawab ini mengikut perlembagaan adalah tanggungjawab kerajaan persekutuan,” tegasnya.

Sementara mengenai skim khas untuk pelajar perubatan di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), beliau berkata Kerajaan Sarawak sedaya upaya memastikan ramai anak Sarawak menjadi doktor.

“Sejak itu melalui Yayasan Sarawak, skim khas ini diwujud semenjak tahun 2018.

“Sejak itu, seramai 290 orang pelajar telah menerima manfaat daripada skim ini dan jumlah dibelanjakan Kerajaan Sarawak untuk mereka ini amat besar iaitu bernilai RM110 juta.

“Inilah komitmen begitu tinggi oleh Kerajaan Sarawak bagi memastikan kekurangan doktor dapat diatasi bersama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN