Muzium universiti juga ada peranan

Muzium universiti juga ada peranan

MUZIUM atau galeri universiti merakam perjalanan penubuhan, pemikiran tokoh akademik, perkembangan dasar serta sumbangan kepada pembangunan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali melangkah ke kampus institusi pengajian tinggi (IPT), perhatian sering tertumpu pada bangunan moden, kemudahan canggih dan suasana pembelajaran yang dinamik.

Namun, di sebalik pembangunan fizikal itu, terdapat satu aset penting yang sering dipinggirkan, iaitu muzium atau galeri universiti.

Ramai menganggapnya sekadar tempat menyimpan artifak lama, gambar pentadbir terdahulu dan koleksi sejarah yang tidak lagi relevan.

Tanggapan ini perlu diubah kerana muzium universiti ialah memori institusi yang membentuk identiti, nilai dan jati diri sesebuah IPT.

Memori institusi bukan sekadar himpunan nostalgia, sebaliknya merakam perjalanan penubuhan universiti, pemikiran tokoh akademik, perkembangan dasar serta sumbangan kepada pembangunan negara.

Rekod ini menjadi bukti bagaimana sesebuah universiti berkembang daripada sebuah idea kepada institusi yang melahirkan modal insan berkualiti.

Tanpa usaha memeliharanya, warga kampus akan semakin jauh daripada sejarah yang membentuk identiti alma mater mereka.

Muzium universiti juga berfungsi sebagai pusat rujukan yang menyokong penyelidikan dan pentadbiran.

Dokumen dasar, pelan pembangunan kampus, rekod kepimpinan serta sejarah kegiatan mahasiswa menyediakan sumber penting untuk menilai kejayaan lalu dan merancang dasar baharu.

Pendekatan ini menjadikan sejarah sebagai panduan dalam membuat keputusan, bukan sekadar bahan pameran. Malah, muzium mampu menggalakkan penyelidikan merentas disiplin seperti sejarah, sosiologi, seni bina dan pengurusan.

Bagi memastikan muzium kekal relevan, pendekatan pendigitalan perlu diperkasakan. Koleksi sejarah lisan, dokumen dan artifak wajar didigitalkan supaya mudah diakses melalui platform dalam talian atau aplikasi mudah alih.

Teknologi seperti pengecaman pertuturan automatik (ASR), realiti terimbuh (AR) dan kod QR mampu menjadikan pengalaman lawatan lebih interaktif, sekali gus menarik minat generasi muda untuk mengenali sejarah universiti dengan cara yang lebih menarik.

Pada masa sama, muzium memainkan peranan penting dalam memupuk rasa kekitaan. Mahasiswa bukan sahaja memperoleh ilmu di bilik kuliah, malah memahami perjuangan yang membina universiti mereka.

Alumni pula terus mempunyai hubungan emosi dengan alma mater, sekali gus menggalakkan kerjasama, jaringan industri dan sumbangan kepada pembangunan institusi.

Dalam usaha mengejar kecemerlangan global, universiti tidak boleh mengabaikan warisan sendiri.

Muzium perlu diperkasakan melalui peruntukan yang mencukupi, pengurusan profesional dan program yang melibatkan seluruh warga kampus.

Apabila sejarah terus dipelihara dan dihidupkan, muzium bukan lagi ruang yang sunyi, sebaliknya menjadi nadi yang menyatukan masa lalu, masa kini dan masa depan sesebuah universiti. – UTUSAN

MUHAMMAD NAJMUDIN NADZRI
Presiden Kelab Sejarah Gunaan,
Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah,
Universiti Utara Malaysia, (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN