Rob Friend hanya pegawai perunding FAM bekerja di Kanada

Rob Friend hanya pegawai perunding FAM bekerja di Kanada

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Rob Friend.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pendedahan baharu daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menimbulkan persoalan besar mengenai struktur pentadbiran pasukan kebangsaan apabila badan induk dunia itu mengesahkan Rob Friend hanyalah pegawai perunding yang bekerja secara jarak jauh dari Kanada.

Menurut dokumen pendengaran, Friend hanya berada di Malaysia pada hari perlawanan melibatkan Harimau Malaya, manakala tugas rutin selebihnya dilakukan dari luar negara.

Perkara itu, membuka ruang spekulasi mengenai kedudukannya yang selama ini dianggap sebagai individu berpengaruh dalam program bola sepak kebangsaan.

Ia turut mengundang persoalan jelas adakah Friend benar-benar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) skuad Harimau Malaya, atau sekadar memegang peranan perunding tanpa kuasa eksekutif sebenar?

Dalam kenyataannya kepada FIFA, Friend menegaskan beliau tidak mengetahui apa-apa mengenai proses dokumentasi pemain warisan Malaysia yang sudah pun dimulakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum beliau menyertai skuad kebangsaan.

Beliau turut menekankan bahawa urusan dokumentasi pemain itu bermula lebih awal daripada tarikh pelantikannya.

“FAM telah memulakan proses naturalisasi dan verifikasi kelayakan pemain berketurunan Malaysia seawal penghujung 2024 dan awal 2025, bertujuan mengenal pasti pemain luar negara yang layak mendapatkan kewarganegaraan bagi mewakili Harimau Malaya.

“Pada sesi pendengaran, Friend sebagai wakil FAM menjelaskan FAM melaksanakan apa yang digelar sebagai ‘heritage search plan’ bagi menaik taraf pasukan kebangsaan dari aspek teknikal, termasuk mencari bakat berdarah Malaysia di luar negara.

“Friend menjelaskan dia hanya memainkan peranan sebagai perunding yang berpangkalan di Kanada, hadir ke Malaysia apabila diperlukan pada hari perlawanan, dan membantu projek tersebut khususnya dari sudut teknikal serta kejurulatihan bukan dari sudut pentadbiran atau dokumentasi.

“Dokumen FIFA itu juga mengesahkan bahawa semua proses naturalisasi diuruskan sepenuhnya oleh FAM di Malaysia, manakala Friend hanya mula terlibat selepas 22 Ogos 2025. Beliau menegaskan tidak mengetahui sebarang salah laku berkaitan dokumentasi sebelum tarikh tersebut,” kata FIFA.

Pendedahan terbaru ini sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai siapa sebenarnya menguruskan projek pemain warisan, siapakah yang memegang kuasa membuat keputusan strategik, dan sejauh mana ketelusan FAM dalam menjelaskan struktur jawatan penting kepada umum.

Jika Friend bukan CEO seperti yang digambarkan sebelum ini, maka persoalannya siapa sebenarnya menerajui projek pembangunan pasukan kebangsaan?.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN