KUALA LUMPUR: Sebuah restoran mewah di tingkat 57 Menara 3, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) terbakar dalam kejadian pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul, Timbalan Penguasa Bomba II, Mohd Hafizan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kira kira pukul 6.41 pagi.
Katanya, sebanyak 35 anggota termasuk pegawai dari BBP Tun Razak dan Hang Tuah telah dihantar ke lokasi kejadian.
“Kita telah hantar pegawai dan anggota masuk ke bangunan secara ofensif dengan menggunakan lif bomba, sistem pemadaman menggunakan ‘wet riser’ untuk memadam kebakaran.
“Alhamdulilah kebakaran berjaya dikawal pada 7.04 pagi dan dipadamkan pada pukul 8.45 pagi,” katanya ditemui media di pekarangan Menara 3, di sini hari ini.
Katanya, kejadian tidak melibatkan sebarang kecederaan mahupun kemalangan jiwa dan punca kebakaran masih disiasat.
“Tiada mangsa terlibat dan sekarang kerja-kerja penyiasatan sedang dijalankan di bangunan tersebut yang terbakar lebih kurang 30 peratus,” katanya.
Katanya, anggota telah menggunakan sistem pemasangan keselamatan di bangunan itu bagi memudahkan operasi mengawal dan memadam kebakaran.
Restoran mewah berkenaan akan ditutup sementara sehingga kerja penyiasatan oleh Unit Forensik JBPM KL selesai dijalankan, katanya. – UTUSAN










