KUALA LUMPUR: Pelaksanaan pengecualian subsidi RON95 kepada kumpulan berpendapatan tinggi (T15) hanya akan dilaksanakan selepas sistem Program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dinaik taraf bagi memastikan ia beroperasi dengan lebih efisien dan menyeluruh.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan berpandangan langkah itu hanya sesuai dilaksanakan apabila sistem penyasaran subsidi berkenaan benar-benar mantap serta mampu menilai kelayakan penerima dengan tepat.
“Buat masa ini, kerajaan meneruskan pelaksanaan BUDI95 dengan sistem sedia ada. Apabila sistem itu ditambah baik kelak, kita boleh mempertimbangkan pengecualian bagi mereka yang berpendapatan tinggi atau menggunakan kenderaan mewah,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Syerleena Abdul Rashid (PH–Bukit Bendera) pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar memaklumkan pelaksanaan program itu dijangka memberi penjimatan sekitar RM2.5 bilion kepada kerajaan.
“Walaupun ada pandangan mengatakan jumlah itu lebih rendah berbanding anggaran awal oleh Bank Dunia, saya berpandangan ia masih menunjukkan keberkesanan langkah penyasaran subsidi yang dilaksanakan kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata, bahawa penjimatan hasil pelaksanaan penyasaran subsidi turut dicapai dalam beberapa sektor lain termasuk diesel, elektrik, ayam dan telur.
“Melalui penyasaran subsidi diesel, kerajaan dapat menjimatkan RM5 bilion hasil pengurangan ketirisan dan penyeludupan yang berlaku di bawah sistem lama.
“Bagi subsidi elektrik pula, penjimatan mencecah RM6 bilion, manakala bagi ayam dan telur, masing-masing sekitar RM1 bilion,” katanya.
Anwar berkata, langkah penyasaran subsidi dilaksanakan secara berhati-hati bagi memastikan ia tidak membebankan rakyat, sambil memastikan perbelanjaan awam digunakan dengan lebih berhemah dan berkesan. – UTUSAN









