Peluang cerah sepak takraw negara tamat kemarau 34 tahun

Peluang cerah sepak takraw negara tamat kemarau 34 tahun

BEKAS pemain kebangsaan itu optimis skuad negara mampu membuktikan kemampuan dan meraih pingat emas pertama sejak kali terakhir menewaskan Thailand pada Sukan SEA Manila 1991.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad sepak takraw negara berpeluang cerah untuk mencipta sejarah menamatkan kemarau 34 tahun tanpa emas dalam acara berpasukan di Sukan SEA Thailand yang akan bermula bulan depan.

Bekas pemain kebangsaan, Mohammad Farid Hamdan, optimis dengan prestasi semasa pasukan yang dilihat semakin mantap di bawah kendalian jurulatih Ahmad Jais Baharun.

Farid berkata, jurulatih negara kini mempunyai lebih banyak pilihan strategik untuk menghadapi kuasa besar, Thailand.

“Regu pertama kita sudah setanding dengan Thailand, kedua-dua pasukan 50-50. Siapa dapat momentum, dialah yang berpeluang besar memenangi emas,” katanya.

Menurut Farid, kelebihan Thailand sebelum ini terletak pada regu kedua dan ketiga mereka yang sangat kuat dan konsisten, manakala Malaysia lebih mantap pada regu pertama dan kedua, tetapi regu ketiga agak goyah.

“Sekarang kita sudah ada pemain seperti tekong Haziq Hairul Nizam yang boleh dipadankan dengan cara betul.

“Kalau hari pertandingan menguntungkan kita dan Thailand buat kesilapan, peluang menang 2-0 sangat cerah,” ujarnya.

Tambah beliau, penganjuran liga tempatan dan sistem mata baharu yang ketat memberikan impak positif terhadap peningkatan mutu pemain negara.

“Sistem 15 mata satu servis ini memaksa pemain sentiasa fokus, kesilapan kecil boleh beri mata kepada lawan. Jadi, konsistensi adalah kunci,” jelas Farid.

Beliau optimis skuad negara mampu membuktikan kemampuan dan meraih pingat emas pertama sejak kali terakhir menewaskan Thailand pada Sukan SEA Manila 1991.

“Saya yakin peningkatan jelas pasukan kita kini bakal membuahkan hasil. Tunggu dan lihat, kita mampu mencipta kejutan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN