KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh mengumumkan Stadium Titiwangsa secara rasmi dijadikan Home of Sepak Takraw susulan pencapaian cemerlang skuad negara di pentas antarabangsa tahun lalu.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas Jabatan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersetuju memberi penjenamaan khas kepada stadium berkenaan tanpa perlu membina gelanggang baharu.
“Susulan daripada prestasi cemerlang pasukan sepak takraw dalam kejohanan peringkat antarabangsa pada tahun lepas, kita, Jabatan Wilayah Persekutuan dan DBKL bersetuju untuk menjadikan Stadium Titiwangsa sebagai Home of Sepak Takraw. Diharap pihak Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dapat memanfaatkan sepenuhnya.
“Ini tidak bermakna sukan lain tidak boleh menyewa stadium ini. Mereka masih boleh datang sewa untuk gunakan fasiliti ini, tetapi sepak takraw kini mempunyai akademi sendiri dan juga stadium yang dinamakan khas untuk mereka,” kata Hannah kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman Stadium Titiwangsa sebagai Home of Sepak Takraw di sini, semalam.
Menurut Hannah, perbelanjaan fasa pertama melibatkan kira-kira RM80,000 bagi kerja-kerja naik taraf termasuk mural identiti, pengecatan, papan skor diod pemancar cahaya (LED), ruang VIP, surau, bilik media, tandas serta kelengkapan peralatan, dengan jumlah keseluruhan sekitar RM200,000 daripada bajet DBKL.
Beliau turut menegaskan sepak takraw adalah sukan yang tidak mahal namun memerlukan sokongan berterusan bagi mengekalkan status juara di peringkat Sukan SEA dan juga Piala Dunia.
Sementara itu, Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan menyifatkan pengumuman tersebut sebagai satu detik membanggakan buat seluruh komuniti takraw negara.
“Pengumuman sebagai Home of Sepak Takraw, sudah pastilah ini sangat membanggakan kepada semua peminat dan juga penggiat sukan sepak takraw.
“Dan pada saya, ini bukan sekadar nama dia, tetapi sebagai satu tempat yang memang menarik ramai peminat kita ataupun masyarakat kita melihat kedudukan stadium ini yang berada di ibu kota, menjadi ikonik, dan menjadi satu sumber inspirasi kepada semua pemain-pemain ataupun penggiat-penggiat,” katanya.
Beliau menambah, fokus latihan utama kekal di Akademi Sepak Takraw Malaysia di Kampung Baru yang lengkap dengan kemudahan penginapan dan makan, manakala Stadium Titiwangsa akan menjadi lokasi utama bagi kejohanan besar dan pertandingan domestik.
Untuk rekod, tahun lalu skuad sepak takraw menjuarai kejohanan Piala Asia di Stadium Titiwangsa manakala meraih dua pingat emas pada Sukan SEA 2025 di Thailand. – UTUSAN










