PETALING JAYA: Kejayaan meraih pingat emas pada Sukan SEA 2025 di Thailand bukan jaminan buat atlet sepak takraw negara meraih tempat secara automatik bagi menggalas cabaran pada Piala Dunia Sepak Takraw 2026 pada Mei ini.
Ketua jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun berkata, penilaian menyeluruh terhadap tahap prestasi semasa akan dilakukan secara teliti sebelum senarai akhir dimuktamadkan untuk membawa cabaran negara di pentas tertinggi sukan itu.
Katanya, keputusan mengenai senarai pemain yang akan bertanding dalam tiga acara di Piala Dunia Sepak Takraw 2026 bakal diputuskan menerusi mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) yang dijadualkan berlangsung pada hujung bulan ini.
“Kita belum lagi menyenaraikan pemain-pemain yang akan memikul cabaran pada kejohanan Piala Dunia nanti. Walaupun mereka berjaya muncul juara di Sukan SEA, itu bukan tiket automatik untuk berada dalam pasukan kebangsaan.
“Mereka seharusnya meningkatkan lagi prestasi dari masa ke semasa kerana pemain muda yang bakal dipanggil juga mempunyai aspirasi tinggi untuk mencabar kedudukan pemain senior dalam skuad utama,” katanya.
Ahmad Jais turut melihat persaingan sihat antara pemain berpengalaman dengan muka baharu sebagai satu elemen positif yang mampu melonjakkan lagi kualiti permainan skuad negara ke tahap yang lebih kompetitif.
Mengulas mengenai kehadiran tenaga baharu, Ahmad Jais mengesahkan seramai enam hingga sembilan pemain kini berada dalam pemantauan barisan kejurulatihan berdasarkan prestasi konsisten yang dipamerkan mereka sepanjang musim 2025.
“Bagaimanapun, kita perlu menunggu hasil mesyuarat JKK terlebih dahulu sebelum membuat pengumuman rasmi mengenai pemain yang dikenal pasti mempunyai potensi besar untuk diserapkan ke dalam pasukan,” tambahnya.
Pencapaian skuad negara di Thailand tahun lalu dianggap sebagai satu detik bersejarah apabila mereka berjaya menamatkan kemarau selama 34 tahun untuk bergelar juara dalam acara regu berpasukan lelaki, selain turut membawa pulang satu lagi pingat emas menerusi acara regu. – UTUSAN










