KUALA LUMPUR: Kira-kira 1.8 juta individu telah menerima manfaat di bawah skim perlindungan kesihatan mySalam sejak ia dilancarkan pada 2019 sehingga September lalu sekali gus menunjukkan keberkesanan inisiatif kerajaan dalam membantu golongan berpendapatan rendah mengurus kos rawatan dan kecemasan perubatan.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, jumlah itu merangkumi penerima manfaat hospitalisasi, penyakit kritikal, pesakit di bawah siasatan (PUI) Covid-19 yang telah tamat tempoh serta tuntutan peranti perubatan.
Katanya, tuntutan penyakit kritikal mencatatkan perbelanjaan tertinggi dengan nilai keseluruhan RM658 juta melibatkan 82,000 penerima, manakala manfaat hospitalisasi pula memanfaatkan 1.22 juta individu dengan jumlah tuntutan sebanyak RM378 juta.
“Baki dana mySalam sehingga September 2025 adalah sebanyak RM490.8 juta. Inisiatif ini menyediakan perlindungan kesihatan takaful percuma kepada individu B40 yang juga penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) berusia antara 18 hingga 65 tahun serta pasangan mereka.
“Buat masa ini, surat ikatan amanah skim mySalam menetapkan bahawa manfaat skim ini hanya diperuntukkan kepada golongan berpendapatan rendah, dengan pelaksanaan skim diteruskan pada 2026 selaras pengumuman Belanjawan baru-baru ini,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Mordi Bimol (PH–Mas Gading) mengenai jumlah tuntutan perubatan dan individu yang menerima manfaat mySalam sejak ia diperkenalkan, serta sama ada kerajaan bercadang memperluaskan bantuan itu kepada golongan M40.
Hui Ying berkata, cadangan memperluaskan mySalam kepada golongan M40 akan diteliti dan diperhalusi terlebih dahulu bagi memastikan perlindungan kesihatan yang diberikan bersesuaian dengan keperluan kumpulan tersebut.
“Selain mySalam, Bank Negara Malaysia (BNM) bersama industri insurans dan takaful turut menawarkan produk Perlindungan Tenang, iaitu inisiatif insurans dan takaful yang dirangka khusus untuk memenuhi keperluan segmen yang kurang mendapat akses serta lebih terdedah kepada risiko khususnya golongan B40 dan M40.
“Produk itu merangkumi pilihan insurans dan takaful yang diluluskan Bank Negara memenuhi lima kriteria utama iaitu mampu milik, mudah didapati, bernilai baik, mudah difahami dan mudah dituntut,” katanya. – UTUSAN










