Negara besar atau kecil, perlu patuh undang-undang antarabangsa

Negara besar atau kecil, perlu patuh undang-undang antarabangsa

MOHAMED Khaled Nordin mempengerusikan ADMM+ Ke-21 di KLCC hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN Plus (ADMM+) Ke-12 yang berlangsung hari ini menjadi medan untuk membincangkan perbezaan pandangan secara terbuka, bukan sekadar tempat untuk menyentuh isu keselamatan serantau.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, mesyuarat itu menekankan kepentingan keterlibatan berterusan semua pihak dalam semangat persefahaman dan keamanan serantau.

“Kepada rakan-rakan kerjasama kami, mesejnya jelas, teruslah berinteraksi dengan ASEAN melalui nilai-nilai, prinsip dan komitmen kita terhadap keamanan,” katanya dalam ucapan pembukaan ADMM+ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Mohamed Khaled menyeru negara-negara anggota serta rakan dialog terus menghormati norma yang telah dibina bersama, menunaikan setiap komitmen yang dipersetujui dan mengekalkan semangat murni yang terkandung dalam perjanjian persahabatan serta kerjasama sebagai asas kepada pengukuhan hubungan serantau.

Beliau berkata, di sebalik semua perbezaan pandangan dan kepentingan nasional, undang-undang antarabangsa perlu dijunjung oleh setiap negara.

“Setiap negara, sama ada besar atau kecil, mesti berdiri teguh menentang sebarang pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan,” katanya.

ADMM+ Ke-12 turut dihadiri menteri-menteri pertahanan dari negara-negara ASEAN dan rakan dialog seperti Amerika Syarikat (AS), Jepun, Korea Selatan, Australia, China, India, New Zealand dan Rusia di bawah tema ‘Kesepaduan ASEAN untuk Keselamatan dan Kemakmuran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN