Mbappe selamatkan maruah Real Madrid

Mbappe selamatkan maruah Real Madrid

PENYERANG Real Madrid, Kyllian Mbappe cuba melepas halangan pemain Elche pada aksi La Liga awal pagi tadi-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID: Usaha gigih Real Madrid akhirnya menyelamatkan mereka daripada kekalahan selepas bangkit dua kali untuk seri 2-2 menentang Elche dalam aksi La Liga yang berlangsung penuh dramatik awal pagi tadi.

Keputusan itu sekali lagi menangguhkan kemenangan buat skuad bimbingan Xabi Alonso, namun satu mata yang diraih sudah memadai untuk mengembalikan mereka ke puncak liga dengan 32 mata, mengatasi Barcelona yang mengutip 31 mata.

Real mempamerkan permainan hambar pada separuh masa pertama dan dihukum sebaik sahaja babak kedua bermula apabila Elche memecah kebuntuan pada minit ke-53.
Gerhard Varela memperdaya pertahanan tuan rumah dengan gerakan tumit yang kemas untuk membuka ruang kepada Aleix Febas, yang tenang menolak bola menewaskan Thibaut Courtois.

Tersentak dengan jaringan itu, Real menggandakan asakan, namun Elche bertahan kukuh sebelum pelawat akhirnya meraih gol penyamaan pada minit ke-81 melalui Dean Huijsen yang menyambar bola muntah selepas situasi kelam kabut hasil sepakan sudut.

Kegembiraan Real tidak kekal lama apabila Elche kembali di depan tiga minit kemudian selepas Alvaro Rodriguez memanfaatkan ruang di hadapan kotak penalti untuk melepaskan rembatan deras ke penjuru kiri gawang, sekali lagi membuatkan Courtois sekadar melihat bola menerjah jaring.

Tatkala masa semakin suntuk, Real tidak mengangkat bendera putih sebaliknya usaha berterusan mereka membuahkan hasil pada minit ke-87 apabila Kylian Mbappe menunjukkan kecerdikan mengekalkan bola sebelum melorongkan hantaran yang disudahkan Jude Bellingham untuk gol penyamaan berharga.

Pengendali itu juga melakukan beberapa perubahan penting selepas dua keputusan mengecewakan sebelum ini tewas 1-0 kepada Liverpool dalam Liga Juara-Juara dan seri 0-0 dengan Rayo Vallecano.

Empat pertukaran dilakukan dalam kesebelasan utama, termasuk mengekalkan sistem lima pertahanan seperti ketika Piala Dunia Kelab.

Arda Guler dan Dani Ceballos diberi tanggungjawab mengemudi pusat permainan, manakala trio serangan terdiri daripada Rodrygo, Bellingham dan Mbappe sementara Federico Valverde serta Vinicius Junior pula bermula di bangku simpanan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN