MADRID: Pengendali Real Madrid, Xabi Alonso akan kembali ke Anfield menentang bekas pasukannya Liverpool pada aksi Liga Juara-Juara awal pagi esok selepas permulaan hampir sempurna dalam kariernya di ibu kota Sepanyol.
Ketika kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu hanya menang dua kali dalam lapan perlawanan terakhir, Alonso pula membawa Real ke puncak prestasi, skuadnya kini jauh berbeza berbanding musim lalu dan semakin mantap di bawah kendaliannya.
Juara Eropah 15 kali itu baru sahaja menumpaskan musuh tradisi, Barcelona dalam saingan La Liga hujung minggu lalu dan kini bersedia mempamerkan kekuatan mereka sekali lagi menentang pasukan bimbingan Arne Slot.
Satu-satunya kekalahan Real musim ini hadir ketika dibelasah 5-2 oleh Atletico Madrid, namun Alonso berjaya memulihkan moral pasukannya dengan cepat dan memperlihatkan peningkatan konsisten sejak itu.
Ramai penyokong Liverpool sebenarnya berharap Alonso mengambil alih tugas di Anfield apabila Jurgen Klopp mengumumkan pengundurannya pada hujung musim 2023-24.
Alonso dikenali sebagai nadi tengah Liverpool antara 2004 hingga 2009 dan dia memainkan peranan penting ketika kejayaan menjuarai Liga Juara-Juara di Istanbul pada 2005 serta merangkul Piala FA sebelum berpindah ke Real Madrid.
Selepas menangguhkan tempoh setahun di Bayer Leverkusen, Alonso akhirnya menggantikan Carlo Ancelotti susulan Real menamatkan musim lalu tanpa sebarang trofi utama.
Pengaruhnya di Santiago Bernabeu memberi impak segera apabila Real menang 13 daripada 14 perlawanan pertama musim ini.
“Untuk memenangi trofi, anda perlu bertahan dengan baik dan mencatat banyak perlawanan tanpa bolos,” kata Alonso selepas Real mengekalkan rekod bersih ketujuh musim ini ketika membelasah Valencia 4-0, Ahad lalu.
Alonso juga memutuskan pasukannya akan menjalani latihan di Real sebelum berlepas ke Merseyside bagi mengelak memberi petunjuk taktikal kepada lawan. – AFP/UTUSAN









