KUALA LUMPUR: Mayat pempengaruh wanita warga Taiwan yang ditemukan mati di dalam bilik air sebuah hotel di Jalan Conlay di sini, pada 22 Oktober lalu sudah dituntut keluarganya.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, setakat ini pihaknya masih menunggu laporan patalogi daripada pihak hospital.
“Bagi kes ini pihak polis masih belum mendapat keputusan daripada pihak Jabatan Peguam Negara (AGC), ada beberapa tindakan lagi yang perlu kita dapatkan termasuk laporan patalogi.
“Sekarang kita bagi pelanjutan jamin selama 14 hari kepada individu berkenaan (Namewee),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kesejahteraan Komuniti ‘Disiplin Terjaga, Generasi Terbina’ Tahun 2025 di Pusat Konvensyen HGH, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan pengarah dan penyanyi, Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee, 42, disambung jaminan polis selama dua minggu lagi sementara siasatan kematian pempengaruh wanita warga Taiwan diteruskan.
Jaminan polis terhadap Namewee itu akan disambung sehingga 10 Disember depan.
Peguam negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar sebelum ini memaklumkan, pembebasan Namewee dibuat berikutan tiada sebarang petunjuk kukuh yang dapat mengaitkan individu tersebut secara langsung dengan punca kematian pempengaruh wanita warga Taiwan berusia 31 tahun itu.
Beliau turut mengesahkan arahan untuk siasatan lanjut dikeluarkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengumpul lebih banyak maklumat dan melengkapkan kertas siasatan.
Pada 5 November lalu, Namewee tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan ditahan reman sebelum dibebaskan dengan jaminan.
Tahanan reman itu dibuat terhadap Namewee bagi membantu siasatan kematian Yun Hsin berikutan penyanyi terbabit adalah individu terakhir yang dikatakan bersama mangsa. – UTUSAN










