PETALING JAYA: Peguam yang menggunakan pihak ketiga termasuk pempengaruh media sosial untuk mempromosikan diri secara berlebihan boleh dikenakan tindakan disiplin sekiranya kesalahan itu dapat dibuktikan.
Peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, peraturan dan etika guaman sedia ada di bawah undang-undang telah menetapkan bahawa seseorang peguam itu tidak boleh mempromosikan diri secara berlebihan.
Menurut beliau, Majlis Peguam perlu menjalankan siasatan sekiranya terdapat pihak ketiga yang membuat ulasan atau pandangan mengenai kebolehan seseorang peguam bagi memastikan tiada unsur pakatan dengan pengamal undang-undang terbabit.
“Jika mereka tidak berpakat, macam mana hendak kenakan (tindakan terhadap) peguam itu? Jika kita ada kaitan dengan (pihak ketiga), berpakat dan membuat konspirasi dengan dia, jika ada bukti seperti itu, baru tindakan boleh serta wajar dikenakan.
“Jika ada peguam yang merasakan diri mereka terjejas dan bimbang dirinya dianggap digunakan oleh pihak ketiga maka beliau mempunyai hak seperti orang lain untuk membuat laporan polis supaya pihak berkuasa boleh menyiasat siapa pemilik akaun itu serta apakah tujuannya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, tular di media sosial sebuah akaun yang membuat ulasan terhadap beberapa pengamal undang-undang di Malaysia. Selain mengulas mengenai kelebihan peguam tertentu, akaun tersebut turut menyenaraikan kelemahan mereka.
Tindakan itu mengundang rasa kurang senang dalam kalangan pengamal undang-undang yang meminta pemilik akaun berkenaan menghentikan perbuatannya serta dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.
Mohamed Haniff berkata, beliau turut mendengar mengenai kewujudan akaun tanpa nama itu daripada rakan-rakan peguam yang menjadi subjek ulasan.
Bagaimanapun, beliau berpendapat tindakan tersebut tidak semestinya didalangi oleh mana-mana peguam tertentu memandangkan ulasan dibuat terhadap ramai pengamal undang-undang dan berkemungkinan hanya dilakukan oleh individu yang mempunyai minat untuk membuat penilaian terhadap profesion tersebut.
“Kalau ramai peguam diulas, apa kaitan dengan peguam-peguam lain? Ataupun ada rakyat Malaysia yang cuma mempunyai hobi untuk menilai kepeguaman peguam-peguam? Maka kalau rasa terjejas, saya syorkan mereka buat laporan polis, jangan komplain di media sahaja.
“Sebagai peguam, sepatutnya patut tahu hak dan tanggungjawab awak di bawah patut tahu hak awak dan tanggungjawab awak di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976. Terdapat macam-macam cara untuk melindungi atau menegakkan hak masing-masing,” katanya.
Tambahnya, individu yang membuat ulasan berkenaan juga tidak semestinya melakukan kesalahan selagi kandungan yang diterbitkan tidak berunsur fitnah atau penghinaan.
“Seperti peminat bola sepak, kita buat ulasan setiap pemain dengan mengatakan pemain tertentu itu bagus ataupun buruk, itu hobi kita. Jika siasatan dibuat terhadap pemegang akaun tersebut dan boleh tunjukkan bahawa beliau tidak mempunyai niat jahat sebaliknya mahu membuat satu memorabilia tentang peguam-peguam dikenali.
“Melainkan pemegang akaun itu membuat fitnah dan menghina peguam berkaitan secara terbuka, tanpa asas maka beliau mempunyai hak untuk membuat ulasan selagi tidak berpakat dengan peguam tertentu untuk menaikkan nama,” katanya. – UTUSAN










