KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) mahu media, pempengaruh dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menjadi rakan strategik bagi menyalurkan maklumat tepat, seimbang dan berfakta mengenai masyarakat Orang Asli.
Ketua Pengarah Jakoa, Muhammad Akmal Ila Ahmad berkata, kerjasama itu penting bagi memastikan usaha pembangunan dan kebajikan masyarakat Orang Asli dapat difahami secara lebih jelas oleh masyarakat luar.
Beliau berkata, Jakoa bertanggungjawab memperkasa dan menjaga kebajikan lebih 200,000 Orang Asli di seluruh Semenanjung yang merangkumi 18 suku kaum di 853 kampung.
“Jakoa sentiasa menyalurkan bantuan dan inisiatif kepada masyarakat Orang Asli terutama melalui pembangunan sosioekonomi, modal insan, kebajikan daripada yang kecil hingga yang berumur, selain membina dan membaik pulih kemudahan seperti jalan raya dan rumah,” katanya ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra, Pempengaruh dan NGO Orang Asli di sini hari ini.
Tambahnya, pertemuan itu julung kali menghimpunkan pihaknya dengan tiga kumpulan penting iaitu media, pempengaruh dan NGO dalam satu platform khusus.
Katanya, Jakoa menghargai laporan media arus perdana mengenai program dan inisiatif jabatan itu, namun sokongan berterusan masih diperlukan bagi memastikan maklumat sampai kepada masyarakat secara tepat.
“Saya menyeru semua pihak terutama rakan media untuk terus menyokong segala usaha dengan menyalurkan berita yang berkualiti, seimbang dan berfakta,” katanya. – UTUSAN










