LIVERPOOL: Nasib akhirnya memihak kepada Liverpool apabila skuad bimbingan Arne Slot menamatkan kemerosotan empat kekalahan berturut-turut Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kemenangan 2-0 ke atas Aston Villa di Anfield, awal pagi tadi.
Mohamed Salah mencuri tumpuan apabila meledak gol ke-250 bersama The Reds pada masa kecederaan separuh masa pertama, menjadikannya pemain ketiga dalam sejarah kelab mencapai angka berprestij itu.
Ryan Gravenberch pula menambah jaringan kedua pada babak kedua, menandakan kepulangan manis selepas pulih daripada kecederaan buku lali.
Slot mengakui tuah turut memainkan peranan penting dalam kemenangan itu yang juga hanya kemenangan kedua Liverpool dalam lapan perlawanan terakhir di semua kejohanan.
“Margin perlawanan sangat kecil. Hari ini mereka (Villa) terkena tiang selepas lima minit, dan kami sedikit bernasib baik. Gol kedua pula hasil dari rembatan Gravenberch yang terkena pemain lawan,” katanya.-AGENSI










