NEWCASTLE: Newcastle United menamatkan rekod tanpa kalah pengendali sementara Manchester United, Michael Carrick dengan kemenangan 2-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.
Dalam aksi yang berlangsung di St James’ Park itu, William Osula muncul wira apabila meledak gol kemenangan lewat permainan walaupun tuan rumah beraksi dengan 10 pemain sepanjang babak kedua.
Terdahulu Anthony Gordon menggembirakan penyokong tuan rumah apabila meletakkan Newcastle di depan melalui sepakan penalti sebelum Casemiro berjaya menyamakan kedudukan untuk United.
Kekalahan berkenaan menyaksikan United kekal di tangga ketiga pada 51 mata, sembilan mata di belakang Manchester City yang seri 2-2 dengan Nottingham Forest Stadium Etihad.
“Kami tidak gembira dengan cara kami bermain malam ini. Perjalanan perlawanan ini sebenarnya kami menguasai banyak perkara, tetapi kredit untuk Newcastle dan pendekatan mereka. Kami tahu ia akan sukar tetapi kami berada dalam posisi untuk menang.
“Namun kami gagal, memang sangat mengecewakan.Saya tak rasa ia soal lawan beraksi dengan 10 pemain, kami memang tidak bermain cukup baik dalam perlawanan ini. Tiada alasan. Semua perlu ambil tanggungjawab,” kata Carrick
Carrick berkata pasukannya kini di tangga ketiga Liga Perdana, perlu kembali bekerja dan tampil lebih baik dalam perlawanan seterusnya bagi mengejar tempat lima teratas EPL bagi menjamin tempat ke Liga Juara-Juara Eropah.
“Kami kalah satu perlawanan, bermain tidak cukup baik, tapi secara keseluruhan kami berada di kedudukan yang baik. Kekalahan ini menyakitkan, tetapi kami akan lebih baik untuk perlawanan seterusnya,” katanya.- AGENSI/UTUSAN










