Lawatan Trump perkukuh hubungan AS-Malaysia - Duta 

Lawatan Trump perkukuh hubungan AS-Malaysia – Duta 

EDGARD D. KAGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Malaysia berjaya memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara yang telah lama terjalin.

Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard D Kagan berkata, ia juga meletakkan asas yang lebih kukuh untuk kerjasama dalam perdagangan, pelaburan dan teknologi.

“Salah satu hasil utama dalam perkara ini ialah kita telah melihat kebangkitan semula sokongan popular di Malaysia untuk hubungan ini, kebangkitan yang saya fikir telah mengejutkan ramai orang. Substansi hubungan ini lebih baik daripada simbolisme untuk sekian lama.

“Kita saling bekerjasama dan penting antara satu sama lain dalam pelbagai bidang, bermula daripada perdagangan dan pelaburan kepada keselamatan dan hubungan antara rakyat. Hubungan ini sangat luas. Ia sangat mendalam,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam program ‘The Nation’ terbitan Bernama TV bertajuk ‘Selepas Sidang Kemuncak ASEAN: Apa Makna Lawatan Trump’ (After the ASEAN Summit: What Trump’s Visit Means) yang disiarkan hari ini.

Kagan berkata, Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-AS, ditandatangani oleh Trump dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, adalah kemuncak lawatan itu, menandakan satu langkah besar ke hadapan dalam mewujudkan perkongsian ekonomi yang lebih seimbang dan saksama.

Beliau berkata, rundingan itu mencabar, sukar dan pada masa sama diadakan secara profesional, delegasi AS kagum dengan kemahiran pasukan perunding Malaysia.

“Dari perspektif kami, apa yang kami lihat ialah Malaysia telah berusaha gigih untuk beberapa perkara penting. Begitu juga AS.

“Kami percaya ini baik untuk AS, tetapi ia baik untuk kedua-dua negara kerana kami menyedari perjanjian yang berat sebelah tidak berdaya maju,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN