Malaysia-AS secara rasmi tandatangan perjanjian pertahanan 

Malaysia-AS secara rasmi tandatangan perjanjian pertahanan 

KHALED Nordin ketika mengadkan satu pertemuan bersama Setiausaha Perang Amerika Syarikat, Pete Hegseth.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) menandatangani perjanjian kerjasama pertahanan pertama antara kedua-dua negara bagi memperkukuh hubungan keselamatan serta mempertingkat keupayaan pertahanan serantau.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perjanjian itu juga disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuh hubungan dua hala selepas kedua-dua negara hanya melaksanakan kerjasama secara tidak rasmi sebelum ini.

“Kita tidak mempunyai rangka kerja kerjasama yang formal, namun kita banyak menjalankan latihan bersama, pertukaran pegawai dan menerima sokongan daripada Amerika Syarikat di bawah pelbagai program peningkatan keupayaan pertahanan sebelum ini.

“Dengan adanya perjanjian rasmi ini, segala bentuk kerjasama dapat disusun dengan lebih teratur, terselaras dan menepati keperluan serta kepentingan pertahanan negara,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth  sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM-Plus Ke-12 di sini, hari ini.

Menurut Mohamed Khaled, pertemuan tersebut turut membincangkan isu-isu dua hala dan cabaran keselamatan umum khususnya berkaitan Laut China Selatan.

“Kita turut menekankan kepentingan memastikan kawasan ini kekal selamat, stabil dan bebas bagi laluan perairan antarabangsa. Ini merupakan antara perkara utama yang dibincangkan dalam platform ADMM-Plus,” katanya.

Beliau turut menyifatkan diplomasi pertahanan sebagai sesuatu yang sangat penting. 

“Melaluinya, negara lain boleh membantu jika berlaku sebarang situasi tidak diingini, di samping menyumbang kepada peningkatan keupayaan pertahanan kita.

“Semakin berkesan diplomasi kita, semakin tinggi keyakinan negara luar terhadap kemampuan Malaysia berdepan cabaran keselamatan,” katanya.

Mohamed Khaled turut menegaskan bahawa perjanjian pertahanan dengan Amerika Syarikat  (AS) mencerminkan kejayaan diplomasi pertahanan Malaysia yang berjaya mengekalkan hubungan baik bukan sahaja dengan Washington, tetapi juga dengan Beijing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN