PN desak sidang khas Parlimen bahas perjanjian Malaysia–AS

PN desak sidang khas Parlimen bahas perjanjian Malaysia–AS

WAN AHMAD FAYHSAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mendesak kerajaan mengadakan sidang khas Parlimen bagi membahaskan secara terperinci setiap klausa dalam Perjanjian Timbal Balas Perdagangan (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, langkah itu penting bagi memastikan sebarang keputusan melibatkan kepentingan negara tidak dibuat secara tergesa-gesa tanpa penelitian mendalam oleh semua pihak termasuk pakar undang-undang dan ekonomi.

“Perjanjian ini terlalu kompleks dan banyak butirannya menimbulkan persoalan. Kami mahu sidang khas diadakan supaya setiap klausa dapat diperhalusi satu per satu, termasuk implikasinya terhadap akta serta struktur ekonomi negara,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen, hari ini.

Menurutnya, perjanjian ART itu bersifat berat sebelah dan menguntungkan AS, dengan 40 klausa yang mengikat Malaysia berbanding hanya satu obligasi di pihak Washington.

“Perjanjian ini seolah-olah memaksa Malaysia mengubah undang-undang tempatan bagi menyesuaikan dengan kehendak Amerika. Ini bukan sekadar urusan dagangan tetapi boleh menjejaskan kedaulatan dan maruah negara,” katanya.

Katanya, kerajaan masih gagal memberi jawapan meyakinkan berhubung kesan perjanjian itu terhadap dasar bumiputera dan kedudukan ekonomi tempatan, terutama jika AS mengenakan tarif baharu sekiranya Malaysia tidak menuruti kehendak mereka.

Menurutnya, PN sebelum ini sudah mencadangkan supaya ditubuhkan kaukus Parlimen dwipartisan bagi meneliti butiran ART seperti yang dilakukan terhadap perjanjian Perkongsian Komprehensif dan Progresif Trans-Pasifik (CPTPP) sebelum ini, namun cadangan itu tidak mendapat perhatian kerajaan.

“Kita tidak menolak kerjasama antarabangsa, tetapi apa-apa perjanjian mesti menguntungkan rakyat dan negara. Jangan sampai kita jadi kolateral dalam perang ekonomi antara Amerika dan China,” katanya.

Menurut Ahmad Fayhsal, pihak pembangkang tidak mempolitikkan isu tersebut, sebaliknya menuntut penelitian semula agar Malaysia tidak terperangkap dalam rundigan yang boleh menggugat dasar ekonomi dan perlembagaan negara.

“Kami bukan membangkang membuta tuli. Kalau ada perkara baik, kita sokong. Tapi yang membabitkan kepentingan rakyat, kita mesti sama-sama semak. Jangan terburu-buru,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN