Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim akan berangkat mengadakan Lawatan Negara ke Arab Saudi dan Bahrain bermula 3 November ini.

Lawatan Negara Yang di-Pertuan Agong ke Arab Saudi dan Bahrain

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim akan berangkat mengadakan Lawatan Negara ke Arab Saudi dan Bahrain bermula 3 November ini.

Sultan Ibrahim bertitah, lawatan ke Arab Saudi dan Bahrain adalah kesinambungan usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia dengan negara luar demi manfaat rakyat dan negara.

“Arab Saudi dan Bahrain adalah dua negara yang amat dekat di hati saya serta mempunyai hubungan strategik yang penting. 

“Saya mohon rakyat Malaysia bersama-sama mendoakan kejayaan lawatan ini demi manfaat jangka panjang negara kita,” titah Sultan Ibrahim hari ini.

Dalam pada itu, Istana Negara berkata, lawatan itu membuka lembaran baharu dalam memperkukuh hubungan diplomatik Malaysia dengan negara Timur Tengah selain mencatat sejarah sebagai lawatan negara pertama Seri Paduka ke Arab Saudi sejak kali terakhir dilaksanakan Yang di-Pertuan Agong ketujuh, Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada 1984.

Katanya, semasa di Riyadh, Sultan Ibrahim dijadual mengadakan pertemuan empat mata dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud di Istana Yamamah.

Turut mengiringi Seri Paduka ialah Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj serta Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

“Lawatan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dan Arab Saudi untuk memperkukuh hubungan dua hala, termasuk dalam bidang ekonomi, geopolitik, pertahanan dan hal ehwal Islam.

“Dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini, sebanyak 12 kunjungan berprofil tinggi telah diadakan antara Malaysia dan Arab Saudi. Negara itu juga merupakan rakan dagang ke-14 terbesar Malaysia dengan nilai perdagangan RM44.74 bilion (AS$9.79 bilion),” kata Istana Negara dalam kenyataan hari ini.

Istana Negara berkata, Sultan Ibrahim kemudian berangkat ke Bahrain pada 6 November atas jemputan Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa.

“Ini merupakan lawatan negara pertama Yang di-Pertuan Agong ke Bahrain sejak hubungan diplomatik kedua-dua negara terjalin pada 1974.

“Sultan Ibrahim dan Raja Hamad mempunyai hubungan persahabatan yang lama termasuk semasa Seri Paduka mengadakan lawatan rasmi ke Bahrain pada 2017 manakala Raja Hamad menghadiri Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong pada 2024,” katanya – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN