Kumamoto Masters: Tiada beregu campuran negara di suku akhir

Kumamoto Masters: Tiada kelibat beregu campuran negara di suku akhir

Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin turut tersingkir di tangan pilihan utama dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran melalui keputusan 21-14, 12-21, 17-21.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketiadaan juara dunia 2025, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei pada aksi Kumamoto Masters memberi tamparan hebat apabila tiada satu wakil daripada sektor beregu campuran negara mara ke suku akhir, hari ini.

Pasangan berpengalaman, Jimmy Wong-Lai Pei Jing yang muncul naib juara kali ketujuh musim ini di Korea Masters Ahad lalu, gagal membuat kejutan apabila tunduk kepada pasangan Taiwan, Ye Hong Wei-Nicole Chan 17-21, 14-21 dalam masa 29 minit.

Hari suram kem negara berterusan apabila pasangan negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin turut tersingkir di tangan pilihan utama dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran melalui keputusan 21-14, 12-21, 17-21.

Keputusan mengecewakan ini sekali gus menutup peluang negara untuk menampilkan wakil dalam suku akhir sektor beregu campuran buat kali pertama dalam kejohanan bertaraf Super 500 itu.

Tang Jie-Ee Wei terpaksa melangkau Kumamoto Masters susulan kecederaan bahu yang menimpa Tang Jie pada jelajah Eropah minggu lalu, meninggalkan kem beregu campuran negara tanpa wakil berpengalaman di pentas utama.

Selain itu, perseorangan wanita, K Letshanaa tewas kepada pilihan utama dari Taiwan, Chiu Pin Chian 22-24, 18-21, manakala perseorangan lelaki, Jacky Kok tunduk kepada pilihan keenam Jepun, Kenta Nishimoto 20-22, 11-21.

Beregu wanita muda negara, Ong Xin Yee-Carmen Ting turut gagal menyaingi pasangan Jepun, Rui Hirokami-Sayaka Hobara selepas tewas 12-21, 9-21.

Bagaimanapun, beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah berjaya mara ke suku akhir dengan kemenangan mudah 21-14, 21-9 ke atas gandingan Korea Selatan, Jeong Na Eun-Lee Yeon Woo. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN