PETALING JAYA: Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli berjaya menamatkan saingan Moto3 dalam kelompok kutipan mata selepas menamatkan aksinya di kedudukan ke-12 pada Grand Prix Motosikal Portugal di Litar Antarabangsa Algarve, Portugal, hari ini.
Memegang status sebagai pelumba ganti untuk pasukan Frinsa MT Helmets-MSi, anak muda berusia 18 tahun itu melakar masa 34 minit 29.458 saat (s) untuk mengutip empat mata pertamanya pada Kejuaraan Dunia.
Selain berjaya mengutip mata sulung, Hakim Danish yang memulakan aksinya dari petak ke-17, turut berjaya mengatasi seteru ketatnya, Brian Uriarte yang melengkapkan perlumbaan di tangga ke-13 (34:29.497s).
Pelumba Sepanyol, Maximo Quiles yang mewakili Aspar Team mengungguli saingan selepas mencatat masa terpantas 34:05.182 saat (s).
Tempat kedua menjadi milik pelumba Frinsa MT Helmets-MSi, Angel Piqueras dengan lakaran masa 34:06.845s, manakala, tempat ketiga dihuni oleh Taiyo Furusato dari Honda Team Asia selepas dia mencatat masa 34:08.068s. – UTUSAN










