PETALING JAYA: Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli tidak meletakkan sasaran pada penampilan sulungnya dalam kelas Moto3 di Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia walaupun ada yang menjangkakan dia mampu mencipta kejutan.
Hakim Danish berkata, dia tidak memiliki pendedahan dalam perlumbaan sebenar untuk kelas tersebut dan sukar untuknya mengukur kemampuannya.
“Kalau ikut catatan masa yang dilakukan semasa sesi ujian dengan jentera KTM, saya rasa kedudukan saya dalam kelompok 15 terbaik.
“Saya perlu perbaiki lagi satu saat lebih untuk berada di kumpulan hadapan, tengoklah nanti sebab tiada yang mustahil, saya yakin dengan pasukan dan motosikal saya yang kompetitif,” kata pemenang tempat ketiga Piala RedBull MotoGP Rookies 2025 itu.
Mengulas tentang motosikal yang akan digunakannya pada perlumbaan itu, menurut Hakim Danish, jentera yang digunakannya berbeza dari segi kuasa berbanding JuniorGP.
Katanya, jentera Moto3 jauh lebih stabil apabila berada di selekoh dan kelajuan yang lebih bagus di laluan lurus.
“Saya boleh hard braking dan jentera boleh masuk lebih laju apabila berada di selekoh, itu antara kelebihan jentera KTM Moto3,” kata anak muda berusia 18 tahun itu.
Hakim Danish berkata, dia telahpun selesai menjalani sesi ujian penyesuaian selama dua hari minggu lalu dan fokusnya kini pada sesi latihan bebas pertama, Jumaat ini yang amat penting untuk pendatang baharu sepertinya. – UTUSAN










