Hakim Danish tumpu Kejuaraan Dunia tahun depan

Hakim Danish tumpu Kejuaraan Dunia tahun depan

Pelumba AEON CREDIT SIC Racing MSI, Hakim Danish (dua dari kanan) bersaing dalam perlumbaan Moto3 Kejuaraan Motosikal Dunia Grand Prix Malaysia 2025 di Litar Antarabangsa Sepang, semalam. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: ‘Saya teruja mendengar nama saya dijerit dekat tempat duduk utama, memang saya tak sabar untuk beraksi pada Kejuaraan Dunia musim depan.”

Demikian luahan hati pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli di sebalik kekecewaannya selepas gagal menamatkan perlumbaan Moto3 Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dekat sini, semalam.

Anak muda berusia 18 tahun yang tampil di atas tiket ‘wild card’ itu berdepan isu teknikal yang menyebabkan enjin jenteranya hilang kuasa sewaktu pelumbaan berbaki lima pusingan.

Hakim Danish pada ketika itu berada di kedudukan ke-11 dan berjaya berada di dalam kelompok pelumba hadapan.

Menurutnya, kesempatan yang hadir melakukan penampilan sulung pada GP Malaysia telah membuka peluang kepadanya merasai pengalaman bersaing sengit dengan pelumba-pelumba handalan dunia.

“Saya sangat gembira dapat bersaing dengan pelumba-pelumba hebat ini, dia orang memang sangat laju dan ini satu pengalaman untuk saya jadikan bekalan pada musim depan,” katanya yang akan bergelar pelumba tetap bersama pasukan No. 2 dunia, MT Helmets-MSi bagi musim 2026.

Anak jati Terengganu itu yang berjaya mencatat masa sepusingan terpantas sewaktu perlumbaan tersebut dengan catatan dua minit 11.066 saat berkata, jika berjaya menamatkan aksinya semalam, dia menjangkakan mampu untuk berada dalam kedudukan mata.

Katanya, banyak yang perlu diperbaiki bagi mempersiapkan diri untuk musim depan dan dia tidak menolak berasa sedikit hampa ekoran gagal menamatkan perlumbaan.

“Banyak yang saya belajar daripada perlumbaan hujung minggu ini terutamanya bagaimana dia orang mengendalikan motosikal masing-masing dan dari sini saya berharap dapat menjadi pelumba yang lebih baik,” katanya.

Pelumba Jepun, Taiyo Furusato menjuarai perlumbaan tersebut yang merupakan kemenangan pertama dalam kariernya pada Kejuaraan Dunia.

Furusato yang mewakili pasukan Honda Team Asia itu mencatat masa terpantas 22 minit 03.888 saat (s) untuk mengutip 25 mata penuh, manakala, Angel Piqueras dari FRINSA-MT Helmets-MSi di tempat kedua (22:06.147s) dan pelumba Leopard Racing, Adrian Fernandez di kedudukan ketiga (22:06.513s). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN